Maizatul Akma risaukan anaknya yang berusia 21 hari kerana menghidap demam kuning. - Foto Ihsan  MAIZATUL AKMA ABDUL KHALID
Maizatul Akma risaukan anaknya yang berusia 21 hari kerana menghidap demam kuning. - Foto Ihsan MAIZATUL AKMA ABDUL KHALID
Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: “Saya bimbangkan keadaan anak yang kini demam kuning (jaundis) kerana sukar mendapatkan rawatan di klinik sekitar Besut, Terengganu, berikutan banjir,” kata Maizatul Akma Abdul Khalid, 33, yang menjadi mangsa banjir ketika sedang berpantang selepas melahirkan anak ketiganya.

Maizatul, seorang suri rumah yang bersalin pada 15 Disember lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, berkata anaknya itu, Mawar Anggun Qaira Khairul Amizan, yang kini berusia 21 hari diserang penyakit berkenaan sejak dua minggu lalu.

"Hari ini sepatutnya saya bawa dia membuat pemeriksaan doktor tetapi temujanji terpaksa ditunda berikutan klinik ditutup akibat banjir.

"Saya risau sakitnya melarat. Keperluan pakaian anak termasuk lampin pakai buang juga tinggal sedikit,” katanya ketika dihubungi di Terengganu, hari ini.

Menurutnya, air naik terlalu pantas sehingga menenggelamkan sebahagian dapur rumahnya sejak dua hari lalu.

"Nasib baik rumah dua tingkat, boleh berlindung di tingkat atas.

"Setakat ini, saya dan keluarga masih belum menerima arahan berpindah ke mana-mana pusat pemindahan," katanya.

Menurutnya, ini kali pertama dia berpantang ketika banjir yang dianggapnya sesuatu yang agak sukar untuk ditempuh.

"Saya perlu bersabar dan reda dengan dugaan berpantang dalam keadaan serba kekurangan.

Maizatul yang amat berharap banjir pulih segera demi kesihatan anaknya, berkata mereka sekeluarga makan nasi dengan ikan masin bakar kerana sukar mendapatkan ikan segar.

“Kalau banjir berpanjangan, kemungkinan besar saya redah juga banjir bersama suami bawa anak dapatkan rawatan minggu depan," katanya.

Sehingga malam ini, jumlah mangsa banjir dipindahkan di Terengganu menurun kepada 9,718 orang berbanding 12,994 pada 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 11:30 PM