ANTARA pesakit kanser pada Majlis Sambutan Hari Jadi Kanak Kanak Kanser. FOTO Azhar Ramli.
ANTARA pesakit kanser pada Majlis Sambutan Hari Jadi Kanak Kanak Kanser. FOTO Azhar Ramli.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lebih 40 kanak-kanak menghidap kanser diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Jadi Kanak-Kanak Menghidap Kanser yang diadakan di sini, hari ini.

Setiausaha Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser (KIDS) Maizatul Karimah Junus berkata, program itu diadakan sempena Bulan Kesedaran Kanser bagi Kanak-Kanak yang diraikan pada September ini.

"Dalam program ini, kita menjemput lebih 40 kanak-kanak menghidap pelbagai kanser berusia antara dua hingga 14 tahun bersama keluarga mereka untuk diraikan.

"Pada masa sama, kita meraikan hari jadi 14 daripada lebih 40 kanak-kanak berkenaan yang lahir pada Ogos dan September," katanya ketika ditemui di lokasi majlis berkenaan, hari ini.

Maizatul berkata, seramai 885 kanak-kanak yang berdaftar dengan pertubuhan itu sejak beroperasi pada 2012 mendapatkan rawatan kanser di Hospital Tunku Azizah (HTA)

"Kebanyakan kanak-kanak yang menghidap kanser membabitkan leukemia dan kanser otak. Namun, kanser ini boleh dirawat.

"Kita mahu memberikan kesedaran kepada orang ramai bahawa kanser yang menyerang kanak-kanak boleh dirawat dengan menjalani rawatan disediakan.

"Kita tidak mahu mereka terus berputus asa tanpa berusaha selepas mengetahui anak-anak menghidap penyakit kanser termasuk leukemia yang merekodkan hampir 90 peratus pesakitnya sembuh," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi CAZA4U selaku penganjur program berkenaan, Danish Aiman Baharudin, berkata, pihaknya menganjurkan program MyKIDS Festival yang bermula 26 Ogos lalu hingga hari ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

"Dalam program ini, kita turut meraikan hari lahir kanak-kanak menghidap kanser bersama ahli keluarga mereka selain aktiviti lain seperti pertandingan kostum kemerdekaan serta pertandingan mewarna.

"Pada masa sama, kami juga mengutip sumbangan daripada orang ramai serta peniaga yang turut menyertai program ini dengan kutipan sebanyak RM2,000 sepanjang enam hari program ini berlangsung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 10:12 PM