Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Setakat ini tiada pengesahan rakyat Malaysia terbunuh atau cedera dalam kejadian serangan pengganas di Reina iaitu sebuah kelab malam di Istanbul, Turki hari ini.

Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata, kerajaan Malaysia melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Turki dalam menentukan jika ada rakyat negara ini antara mereka yang terbunuh atau cedera serangan itu.

"Pihak kedutaan juga akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Turki dan rakyat Malaysia di sana termasuk pelajar yang menuntut di Istanbul.

"Selain itu, Kementerian Luar mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin atau berhasrat melawat ke Istanbul dan bandar utama lain di Turki supaya sentiasa berhati-hati dan memberi perhatian kepada keselamatan diri serta memantau dan merujuk kepada nasihat keselamatan yang dikeluarkan," katanya hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas berkenaan yang meragut 39 nyawa serta menyebabkan 69 mangsa mengalami kecederaan.

"Kerajaan Malaysia merakamkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam serangan itu dan kerajaan Turki serta berharap mereka yang cedera akan cepat pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 10:10 PM