ANGGOTA paramedik membawa keluar mayat mangsa. FOTO EPA
ANGGOTA paramedik membawa keluar mayat mangsa. FOTO EPA
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terbabit dalam serangan pengganas yang mengorbankan 10 nyawa di Istanbul, Turki semalam.

Perkara itu dimaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Ankara malah, kedutaan juga akan terus berhubung dengan rakyat Malaysia di sana termasuk pelajar yang menuntut di Istanbul.

Kementerian Luar dalam kenyataan di sini hari ini berkata, kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas yang berlaku di Sultanahmet, Istanbul itu yang turut mencederakan 15 yang lain.

"Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan simpati dan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Republik Turki serta kepada keluarga dan mangsa yang terbabit di dalam serangan tersebut.

"Kementerian juga ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin ataupun melawat Istanbul sentiasa mengutamakan keselamatan dan memantau suasana sekeliling serta mematuhi nasihat yang dikeluarkan Kerajaan Republik Turki," katanya.

Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa.

Berita berkaitan:

Serangan di Istanbul: http://hmtro.com/1l4NVrv

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 12:20 PM