Adel kini isteri ahli perniagaan.
Adel kini isteri ahli perniagaan.
Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Bekas bintang Akademi Fantasia 2014, Adeline Joyce Masidah, 23, atau Adel selamat dinikahkan dengan seorang ahli perniagaan Muhammad Affan Jumahat, 29, di Taman Seri Gaya, di sini, hari ini.

Adel ketika dihubungi, melahirkan rasa bersyukur apabila majlis yang berlangsung di rumah pengantin lelaki itu pagi tadi berjalan lancar.

"Alhamdulillah, dengan sekali lafaz nikah, saya sah menjadi isteri kepada Affan (Muhammad Affan).

"Saya berharap pernikahan ini dapat menamatkan segala kontroversi yang melanda hubungan kami selama ini.

"InsyaAllah, majlis persandingan akan berlangsung di Tuaran, pada 1 Januari depan," katanya.

Sebelum ini, hubungan mereka pernah hangat diperkatakan apabila Adel didakwa menjadi orang ketiga dalam keretakan rumah tangga Affan dengan bekas isteri.

Mereka mula berkenalan sejak setahun lalu dan mengikat tali pertunangan pada 3 Disember lalu.

Selain 200 tetamu yang terdiri dari keluarga dan sahabat handai, majlis pernikahan mereka turut dihadiri tiga anak Affan dengan bekas isteri yang berusia antara tiga hingga lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 5:59 PM