PEKERJA memeriksa jalan yang dirosakkan Taufan Nock-Ten di Tabaco, wilayah Albay. - AFP
PEKERJA memeriksa jalan yang dirosakkan Taufan Nock-Ten di Tabaco, wilayah Albay. - AFP
AP

Manila: Pengawal pantai Filipina semalam berusaha menjejak 18 anak kapal kargo yang karam ketika Taufan Nock-Ten membadai negara itu pada Hari Krismas, dalam pada jumlah kematian kini direkodkan seramai tujuh orang.

Jurucakap pengawal pantai Armand Balilo berkata, 14 lagi anak kapal berjaya diselamatkan, manakala seorang disahkan meninggal dunia selepas kapal M/V Starlite Atlantic karam berhampiran pekan Mabini ketika taufan melalui wilayah Batangas sebelum menghala ke Laut China Selatan, kelmarin.

Presiden Rodrigo Duterte terbang ke wilayah yang dibadai taufan dan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang mencuri bantuan kewangan dibawanya untuk mangsa taufan.

“Saya akan mencampak sesiapa yang mencuri wang itu keluar dari helikopter. Bukannya saya tidak pernah berbuat begitu,” katanya dalam ucapan di Camarines Sur yang disambut tepukan gemuruh orang ramai.

Kapal Starlite Atlantic berlindung di kawasan pelabuhan ketika taufan dan anak kapal terbabit memutuskan berpindah ke kawasan yang airnya lebih tenang.

Malangnya mereka dibadai ombak besar dan angin kencang menyebabkan kapal itu karam.

Sekurang-kurangnya tujuh orang mati dalam bencana itu termasuk orang kampung yang lemas atau dihempap pokok tumbang serta tembok runtuh.

Duterte terbang ke bandar Virac di Catanduanes, timur Filipina, untuk memantau pengagihan makanan kepada penduduk.

Nock-Ten yang juga dikenali sebagai Nina dalam kalangan penduduk tempatan memaksa lebih 420,000 orang kampung mengabaikan persiapan Krismas dan berpindah ke pusat perlindungan.

Beberapa wilayah turut mengalami gangguan bekalan elektrik selain perkhidmatan feri digantung menyebabkan puluhan penumpang terkandas.

Filipina dilanda kira-kira 20 taufan dan ribut besar setiap tahun. Sejak 65 tahun lalu, tujuh taufan membadai pada Hari Krismas yang disambut besar-besaran di negara itu.

Nock-Ten antara ribut paling kuat membadai Filipina sejak Taufan Haiyan pada 2014 yang mengakibatkan lebih 7,300 kematian dan menyebabkan lebih 5 juta orang hilang tempat tinggal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 7:58 AM