Pedro
Pedro

Zapopan: Seorang lelaki dipercayai manusia paling gemuk di dunia merancang menjalani pembedahan pintasan gastrik pada tahun baru ini dan mengurangkan berat badannya kepada separuh.

Juan Pedro yang seberat 590 kilogram terpaksa mengurangkan berat badannya itu sebagai cara untuk mengubati penyakit kencing manis, darah tinggi dan paru-paru kronik yang dihidapinya, kata Doktor Jose Castaneda Cruz.

Menurutnya, Pedro akan menjalani beberapa prosedur untuk menjalani pembedahan itu.

“Pembedahan akan dilakukan dalam dua peringkat. Pada peringkat pertama, doktor akan membuang lebih tiga suku perut pesakit pada 1 Januari ini.

“Enam bulan kemudian, sebahagian baki perut itu akan disekat untuk membantu dia merasakan perutnya sentiasa penuh. Pada masa sama, dia juga akan menjalani pembedahan usus,” kata Castaneda.

Doktor itu mahu Pedro susut sebanyak 59 kilogram pada enam bulan pertama yang akan membolehkan dia mengurangkan ancaman dijangkiti barah yang ada kaitan dengan obesiti sebanyak 52 peratus.

Pasukan perubatannya berkata, Pedro, 32, mempunyai peluang mengurangkan separuh daripada beratnya dalam masa enam bulan.

“Secara berperingkat-peringkat. Saya yakin azam saya ini boleh dicapai,” kata Pedro. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 10:29 AM