Suliati Asri


Serangan bertali arus gerombolan ular, hantu dan jerangkung saat memulakan pengembaraan gelap 4 Dimensi (4D) cukup mendebarkan.

Maklum sajalah, ketika itu, masing-masing belum bersedia untuk bertempur.

Namun, di bawah tunjuk ajar Master Wu (antara karakter dalam Lego Ninjago), tangan mula digerakkan menghala ke musuh yang menyerang.

Saat itu, berbekalkan kaca mata 4D untuk melihat dengan lebih jelas, perasaan sedikit teruja dirasai tatkala tangan yang digerakkan itu mengeluarkan bebola api yang mewakili kuasa api.

Rakan di sebelah turut melontarkan petir, mencetus gelombang renjatan dan menghamburkan ais tepat kepada musuh yang menyerang.

Selesai melawan musuh ‘kecil’, kedatangan si ular raksasa bernama The Great Devourer menguji ketangkasan kami. Kelibatnya yang lincah membuatkan kami tidak henti melontarkan kuasa masing-masing.

Gabungan empat kuasa Ninja itu cukup hebat, sekali gus berjaya mengalahkan musuh utama yang menanti pengunjung Lego Ninjago The Ride.

Menjadi tarikan terbaru di Taman Tema LEGOLAND Malaysia, Lego Ninjago The Ride adalah permainan berteknologi tinggi yang perlu dicuba.

Permainan pertama seumpamanya di Asia, Lego Ninjago The Ride membolehkan pengunjung menggunakan tangan untuk melontar petir, mencetus gelombang renjatan, menghamburkan ais dan menembak bebola api dengan tahap ketepatan yang tinggi.

Diilhamkan daripada permainan dan rancangan televisyen Lego Ninjago , pengunjung boleh memainkan watak kegemaran mereka dan menewaskan musuh seperti gerombolan ular, hantu, jerangkung dan ular raksasa yang bernama The Great Devourer di bawah tunjuk ajar Master Wu.

Pengurus Besar LEGOLAND, Young Pil-Kim cukup berbangga dapat membawa pengalaman pengalaman Lego Ninjago ke Asia.

“Pembukaan Ninjago The Ride satu perkembangan menarik bagi LEGOLAND Malaysia Resort kerana Ninjago adalah jenama yang popular.

“Jenama Lego juga memberi inspirasi kepada masyarakat bagi merasai pengalaman interaktif, sekali gus menjadikan taman tema ini tarikan utama kepada pengunjung.

“Justeru, langkah memperkenalkan permainan ini amat tepat berikutan Lego Ninjago The Ride membawa pengalaman permainan yang mengasyikkan ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Dibina dengan pelaburan lebih RM40 juta, tarikan permainan ini ialah teknologi gerak isyarat tangan yang unik. Ia membolehkan pengunjung berlagak seperti Ninja dan melemparkan bola api, petir, gelombang renjatan atau ais dengan pergerakan tangan.

Dihasilkan oleh Triotech, sensor berteknologi tinggi ini mampu mengesan pergerakan dengan tepat dan melancarkan peluru maya ke sasaran yang dipaparkan.

Kesan seperti haba, asap dan angin sepanjang pengembaraan ini ternyata memberi pengalaman mengujakan.

Seramai empat pengunjung boleh menaiki kenderaan permainan Lego Ninjago The Ride yang membawa mereka menyusuri pelbagai babak termasuk berhadapan dengan penjahat dan situasi mencabar.

Pada akhir pengembaraan, selain keseronokan kerana dapat menewaskan ular raksasa, pengunjung juga boleh melihat markah mereka yang dipaparkan dan gambar beraksi di Lego Ninjago The Ride.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 11:18 AM
PENGUNJUNG beraksi melawan The Great Devourer di Lego Ninjago The Ride.
PENGUNJUNG beraksi melawan The Great Devourer di Lego Ninjago The Ride.
KETUA Pengarah Tourism Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammed Taiyab (depan) dan Young mencuba aktiviti disediakan di sepanjang laluan sebelum menaiki tunggangan serta bertempur dengan musuh di Lego Ninjago The Ride.
KETUA Pengarah Tourism Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammed Taiyab (depan) dan Young mencuba aktiviti disediakan di sepanjang laluan sebelum menaiki tunggangan serta bertempur dengan musuh di Lego Ninjago The Ride.
CABARAN pertempuran menanti pengunjung.
CABARAN pertempuran menanti pengunjung.
PERTEMPURAN hebat menanti mengunjung di Lego Ninjago The Ride.
PERTEMPURAN hebat menanti mengunjung di Lego Ninjago The Ride.
PENGUNJUNG bersiap sedia bertempur dengan penjahat.
PENGUNJUNG bersiap sedia bertempur dengan penjahat.