MIRZA (tiga dari kiri) dan Gearmyn (tengah)  bersama tetamu kehormat selepas merasmikan  permainan tambahan terbaru taman tema Lego Ninjago.
MIRZA (tiga dari kiri) dan Gearmyn (tengah) bersama tetamu kehormat selepas merasmikan permainan tambahan terbaru taman tema Lego Ninjago.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Selepas Billund, Denmark dan California, LEGO® NINJAGO:The Ride yang akan dibuka November depan bakal menjadi tarikan terbaharu di taman tema Legoland, Johor, khasnya kepada peminat siri televisyen popular Ninjago.

Pengurus Besar LEGOLAND® Malaysia Resort Mark Germyn berkata, ia menjadi taman tema pertama di Asia yang memperkenalkan Ninjago Ride dalam usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung bukan sahaja dari Malaysia, malah Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Beliau berkata, LEGO® NINJAGO:The Ride akan ditempatkan di bahagian terbaharu taman berkenaan dikenali NINJAGO World, dan ia dibina dengan pelaburan kira-kira RM40 juta.

“Pengunjung akan dibawa mengembara dalam satu perjalanan empat dimensi (4D) yang diilhamkan dari mainan lego Ninjago dan siri televisyen berkaitan, dalam pengembaraan ini mereka akan mengawal sendiri perjalanan mereka.

“Mereka akan memainkan peranan sebagai pahlawan ninja yang mendapat bimbingan guru Ninjago iaitu Master Wu untuk menentang musuh dari suku ular, hantu dan ‘Great Devourer,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ‘Networking Day’ Tourism Malaysia (TMDN) bersama LEGOLAND® Malaysia Resort dan LEGO® NINJAGO:The Ride di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di sini, semalam.

Pelancaran disempurnakan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab.

Mark berkata, NINJAGO Ride pertama dilancarkan di Billund, Denmark awal tahun ini, dan California Resort pada April.

“LEGOLAND amat berbangga kerana menjadi yang pertama di dunia yang membawakan NINJAGO Rides ini sekali gus membawakan keseronokan berganda kepada orang ramai yang berkunjung ke taman tema kami,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Mirza berkata, TMDN menjadi landasan penting kepada Tourism Malaysia untuk merapatkan hubungan antara sektor awam dan swasta dalam industri pelancongan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 9:35 AM