Shamsul Munir Safini


Butterworth: Pesawat malang Beechcraft King Air 200T yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang dikatakan diketuai Mejar C Kayamboo yang turut terkorban dalam nahas itu.

Mendiang dikatakan berpengkalan di Alor Setar, Kedah.

Tiga anggota yang cedera adalah

Kapten Wai Lik (retak tulang muka, retak rusuk kanan dan cedera di beberapa lagi bahagian badan)

Leftenan Hamdi Ahmad Hanafi (cedera di bahagian dada dan dilaporkan stabil)

Sarjan Mohd Sofi Azizan (stabil)

Sementara itu, saksi yang juga pekerja swasta, Rizal Effendy Maarop, 36, berkata ketika itu dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sebelum melihat asap tebal di kawasan itu.

"Saya ingat tiada apa-apa sewaktu asap tebal memenuhi ruang udara di kawasan Pangkalan TUDM ," katanya yang melalui kawasan nahas pesawat TUDM.

Katanya, ketika itu dia cuma menyangka ia hanya pembakaran terbuka.

"Saya ada tunjuk asap itu kepada anak. Saya sangka ia hanya orang membakar sampah. Saya hanya mengetahui perkara sebenar selepas kawan menyebarkan gambar kejadian itu di aplikasi WhatsApp," katanya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum, dijangka tiba di Pangkalan TUDM Butterworth, malam ini.

Dalam kejadian 5.18 petang, 21 Disember, pesawat yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang itu turut membawa tiga kru udara yang dilaporkan parah.

Sementera itu, seorang saksi G Sharvinter, 14, memberitahu Bernama: “Saya terkejut apabila terdengar bunyi letupan yang kuat macam bom."

Dia yang berada di Kuil Sri Muneeswaraswami Devasthanam, 100 meter dari tempat kejadian berkata, kira-kira 5 petang, beliau sedang bersiap untuk sembahyang dan tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi letupan.

"Saya terus lari keluar dari kuil untuk melihat apa yang berlaku dan asap kelihatan dari pangkalan TUDM berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 9:38 PM