Georgetown: Keadaan pembantu juruterbang, Kapten Wai Lik yang cedera dalam nahas pesawat Beechcraft B-200T yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, semalam, dilaporkan stabil.

Menurut abangnya yang enggan dikenalil, berkata adiknya sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Saya tidak dibenarkan memberi sebarang maklumat dan apa yang saya boleh beritahu adalah dia dalam keadaan stabil,” katanya kepada ketika ditemui di HPP, hari ini.

Abang dan dua lagi anggota keluarga Wai Lik, 26, tiba di hospital itu kira-kira 1 tengah hari.

Sementara itu, seorang lagi anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang cedera dalam nahas malang itu, Sarjan U Mohd Sofi Azizan, 29, kini dirawat di Wad Ortopedik HPP.

Isterinya, Ainul Maziayana Mohd Hassan, 27, berkata suaminya masuk ke wad itu pada 1.30 tengah hari.

Dia dilihat membantu mengelap badan suaminya sebelum doktor datang menerangkan keadaan suaminya yang mengalami lebam di muka itu.

Pesawat TUDM yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang pada 3.30 petang semalam, terhempas di Pangkalan Udara Butterworth ketika sesi latihan menyebabkan juruterbang Mejar C Kayamboo, 44, terbunuh manakala tiga yang lain cedera termasuk Lt Hamid Hanafi, 26.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 10:30 PM