Asrizal Aris

Kuala Lumpur: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) melancarkan 150,000 koleksi setem 'Kegemilangan Emas di Paralimpik Rio 2016' di Ibu Pejabat Pos Malaysia, di sini, hari ini.

Siri setem ini menampilkan setem bernilai 95 sen sekeping yang mempamerkan imej tiga atlet Paralimpik yang menyumbang pingat emas pertama bagi acara masing-masing dalam temasya sukan Paralimpik Rio 2016 di Brazil September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, keluaran siri setem ini adalah penghormatan kepada sumbangan para atlet negara di arena sukan bertaraf antarabangsa.

"Selain setem, produk filateli lain seperti sampul surat hari pertama (FDC) termasuk risalah berharga 55 sen setiap satu dan folder lengkap dijual pada harga RM6.35 setiap satu, turut dikeluarkan.

"Pos Malaysia mempunyai garis panduan dalam mengeluarkan setem berimej kerana sebelum ini hanya imej individu yang sudah meninggal dunia daripada kerabat diraja, pemimpin dan tokoh sasterawan negara sahaja yang dibenarkan dalam pengeluaran setem.

"Jadi ini adalah yang pertama kalinya Pos Malaysia melancarkan setem yang mempamerkan imej individu yang masih hidup sebagai penghargaan," katanya ketika ditemui selepas pelancaran koleksi setem Kegemilangan Emas di Paralimpik Rio 2016, di sini, hari ini.

Katanya, pelancaran setem itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin serta tiga atlet yang dirai, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly.

Pos Malaysia mengeluarkan sebanyak 150,000 setem, 40,000 sampul dan 2,000 folder setem lengkap yang tidak mempunyai cetakan kedua selepas ini untuk dimiliki oleh pengumpul setem di seluruh dunia.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 11:57 AM
Nurshafiqa Mat Kasim menunjukkan koleksi setem 'Kegemilangan Emas di Paralimpik Rio 2016' yang mempamerkan imej tiga atlet Paralimpik yang menyumbangkan pingat emas dalam temasya sukan Paralimpik Rio 2016 di Brazil. FOTO ASYRAF HAMZAH
Nurshafiqa Mat Kasim menunjukkan koleksi setem 'Kegemilangan Emas di Paralimpik Rio 2016' yang mempamerkan imej tiga atlet Paralimpik yang menyumbangkan pingat emas dalam temasya sukan Paralimpik Rio 2016 di Brazil. FOTO ASYRAF HAMZAH