NOLITO (dua dari kanan) ledak gol keenam Sepanyol.
NOLITO (dua dari kanan) ledak gol keenam Sepanyol.
AFP

Paris: Alvaro Morata dan Nolito masing-masing meledak gol ketika membelasah Korea Selatan 6-1 dalam perlawanan persahabatan sebagai pemanas badan Sepanyol sebelum turun mempertahankan Kejuaraan Eropah tahun ini.

Skuad Sepanyol tidak membariskan kesebelasan utama apabila jurulatih Vicente Del Bosque merehatkan beberapa pemain Real Madrid serta Atletico kerana masing-masing baru mendaftarkan diri selepas tamat saingan Liga Juara-Juara.

Tetapi faktor itu langsung tidak menjejaskan aksi Sepanyol yang mendominasi permainan sebelum meledak tiga gol sepanjang babak pertama di Salzburg, Austria menerusi David Silva, Cesc Fabregas dan Nolito.

Morata menghasilkan dua gol pada babak kedua dan Nolito menghasilkan gol keenam pada perlawanan berkenaan. Korea Selatan memperoleh gol sagu hati menerusi Ju Se-Jong ketika permainan berbaki tujuh minit untuk tamat.

Nolito meledak dua gol antarabangsa pertamanya ketika menang 3-1 pada perlawanan persahabatan menentang Bosnia Herzegovina di Saint Gallen, Switzerland, Ahad lalu.

Perlawanan persahabatan menentang Korea Selatan menyaksikan Iker Casillas direhatkan dan Del Bosque memasukkan penjaga gawang Manchester Unted David De Gea.

Pertahanan Arsenal Hector Bellerin yang disenaraikan bagi menggantikan pertahanan Real Dani Carvajal yang cedera, diturunkan pada perlawanan yang menyaksikan ramai pemain Barcelona seperti Gerard Pique, Jordi Alba, Andres Iniesta dan Sergio Busquets.

Begitupun, selepas terpaksa bermain hingga masa tambahan Liga Juara-Juara, pemain Real seperti Sergio Ramos dan Lucas Vazquez serta bintang Atletico Juanfran dan Koke tidak diturunkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 9:01 AM