WENGER (kanan) sedang memantau  Jack Wilshere berlatih.
WENGER (kanan) sedang memantau Jack Wilshere berlatih.
Reuters

LONDON: Bos Arsenal, Arsene Wenger menggambarkan aksi antarabangsa minggu lalu sebagai ‘tiba pada masa yang salah’ buat skuad kendaliannya.

Selepas permulaan sukar dalam kempen EPL (Liga Perdana Inggeris) susulan kekalahan 1-0 ke atas Stoke City dan dimalukan Liverpool 4-0 di laman lawan, Arsenal bangkit sebelum mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan terakhir.

Selain kempen domestik, Gunners juga menang kedua-dua aksi perlawanan Liga Europa peringkat kumpulan.

Sepanjang itu, mereka menjaringkan 15 gol dan melepaskan tiga jaringan sekali gus meredakan tekanan terhadap Wenger dengan Arsenal mengumpul keseluruhan 13 mata untuk berkongsi kedudukan dengan Chelsea di tangga keempat liga.

“Saya mungkin lebih gemar untuk terus bermain tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan,” kata Wenger selepas kemenangan 2-0 di laman sendiri kepada Brighton & Hove Albion sebelum rehat antarabangsa awal bulan ini.

Bagi Wenger, cabaran yang bakal diharungi ialah untuk memastikan pasukannya kekal di prestasi terbaik.

Tiga perlawanan seterusnya dalam liga ialah bertemu skuad yang ketika ini berada dalam prestasi terbaik, Watford dan Everton selain aksi menentang kelab di tangga tiga tercorot Swansea City.

Selain itu, Arsenal juga akan membuat kunjungan ke Belgrade menentang Crvena Zvedza dalam saingan Liga Europa selain aksi di laman sendiri Piala Liga menentang Norwich City bagi melengkapkan bulan yang sibuk buat Gunners.

Sekali pun terus menampilkan peningkatan, perkara yang turut merunsingkan Wenger ialah perbincangan lanjutan kontrak dengan dua tonggak Alexis Sanchez dan Mesut Ozil yang diakui sendiri pengendali dari Perancis itu mungkin meninggalkan Emirates pada Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 1:35 PM