Oleh Siti Zarinah Sahib


Tidak dinafikan, fe­syen dan gaya pemakaian berubah dengan cepat. Namun, perubahan pada corak, gaya dan warna tidak jauh berbeza dengan tahun sebelumnya.

Sebagai contoh, jalur hitam putih masih popular dan diminati sehingga kini walaupun trend ini sudah bermula pada akhir 2012. Namun ia ditambah melalui corak dan padanan mengikut kesesuaian penggayaan. Begitu juga dengan warna pilihan menjelang 2015, ia pasti mengujakan.

Salah satu andaian me­ngenai warna 2015 ialah warna lembut dan menenangkan antaranya:

1. Hijau toska

Hijau tosca sememangnya bukan warna baru. Beberapa tahun lalu, warna khas floral dan musim panas ini kerap menghiasi arena pertunjukan fesyen kerana ia begitu mempesona.

Bagi mereka yang sering mengikuti aliran fesyen semasa, pasti menyedari rona ini sering kelihatan dalam pertunjukan fesyen mewah seperti Minggu Fesyen New York, Pertunjukan Fesyen Milan, Minggu Fesyen Paris atau Minggu Fesyen London. Ia bukan saja menjadi pilihan busana malah beg tangan serta kasut.

2. Biru laut

Warna lembut biru laut sememangnya menjadi pilihan pereka dalam menghasilkan rekaan mereka menjelang 2015. Malah jenama terkenal seperti Honor, Zimmermann and Christian Siriano menggunakan rona ini dalam padanan mereka merangkumi pakaian seperti gaun, skirt dan blaus juga perhiasan.

3. Putih

Putih sesuai dalam semua keadaan. Anggun digayakan untuk semua padanan. Pilihan putih sememangnya tepat terutama untuk busana perkahwinan dan ia sememangnya masih menjadi pilihan.

Jenama mewah Calvin Klein, Tadashi Shoji dan Jill Stuart menggunakan rona putih dalam padanan mereka.

4. Kuning lemon

Jika pada penghujung 2000, rona kuning dikatakan terlalu terang dan tidak sesuai dijadikan padanan harian, hari ini kuning lemon menjadi pilihan bagi sesetengah jenama mewah seperti Michael Kors, DVF dan Delpozo. Ia bakal menjadi warna blok apabila dipadankan dengan rona kontras lantas memberikan nilai penggayaan tersendiri.

5. Merah ceri

Pereka Zac Posen dan Donna Karan tidak me­nyangka rona merah cili yang diketengahkan pada Minggu Fesyen New York 2014, mendapat perhatian ramai. Malah pada tahun ini rona ini dijangka diminati bukan saja golongan remaja malah pertengahan usia.

Merah cili menggambarkan keberanian dan keyakinan seseorang lantas tidak hairan pada majlis anugerah sesetengah selebriti memilih rona ini sebagai pakaian untuk laluan permaidani merah.

6. Mawar pudar

Bukan menjadi satu kejutan seandainya rona ini menjadi pilihan menjelang 2015. Ini kerana sifatnya yang lembut, menjadikan si pemakainya tampil sopan dengan gaya tersendiri. Malah warna seakan-akan mawar seperti rasberi turut menjadi pilihan.

7. Pudina

Termasuk dalam keluarga hijau sejak 2014, rona ini menjadi pilihan penggemarnya namun kesukaran mencari padanan sesuai terutama beg tangan, kasut dan juga tudung menyebabkan ia berada dalam kumpulan warna elegan dan eks­klusif. Namun bagi mereka yang memilih warna ini sebagai tema, mereka sememangnya mengikut trend.

8. Champagne

Rona champagne kelihatan sungguh elegan terutama dalam padanan gaun labuh. Malah wanita yang menggayakannya pasti menjadi perhatian. Biarpun menjadi pilihan busana perkahwinan pada 2014, namun 2015 warna ini semakin diminati ramai. Ia seakan-akan coklat lembut dan keemasan namun mempunyai tona tersendiri.

9. Kelabu

Walaupun kelihatan kurang menyerlah, warna alam ini mampu menarik perhatian disebabkan warna yang lembut bersama padanan gaun labuh. Untuk fabrik polos dengan sedikit sentuhan manik dan batu permata cukup membuat­kan anda tampil hebat.

10. Badam lembut

Warna semula jadi seperti badam sememang­nya akan menjadi tumpuan menjelang 2015. Selain nampak classy dan me­nyerlah, busana seperti gaun dan jubah mampu menyempurnakan penampilan mengikut apa yang diinginkan.

Untuk perkahwinan, tidak semua mampu memakai pakaian daripada rona ini. Sedikit perincian manik sudah cukup untuk menambah nilai elegan kepada si pemakai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:00 AM