Fabian Peter


MALAYSIA menempah laluan sukar untuk melangkah ke separuh akhir Piala Thomas 2018 apabila diundi bertemu Indonesia pada saingan suku akhir selepas tumbang 2-3 kepada Denmark, hari ini.

Dalam saingan terakhir peringkat Kumpulan D bermula 8 malam hingga 1.30 pagi tadi, skuad negara meraih dua mata menerusi perseorangan lelaki, Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia .

Chong Wei berjaya menumbangkan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen 21-9, 21-19 sekali gus membangkitkan semangat pemain lain untuk menumbangkan juara bertahan itu.

Bagaimanapun, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal mengenepikan cabaran Mads Conrad-Petersen-Mads Pieler Kolding apabila tewas dalam pertarungan tiga set, 24-22, 15-21,15-21.

Ketika kedudukan terikat 1-1, pemain perseorangan Zii Jia mencipta kejutan apabila meraih mata kedua negara dengan menumbangkan pemain berpengalaman Denmark, Hans-Kristian Vittinghus dengan kemenangan straight set, 21-18,21-18.

Perlawanan keempat menyaksikan beregu negara, Aaron Chia-Teo Ee Yi memberi saingan sengit kepada beregu berpengalaman Mathias Boe-Mathias Christiansen, sebelum tunduk 21-19,10-21, 18-21.

ISKANDAR (kiri) beraksi ketika bertemu Jorgensen dalam kumpulan D pada Piala Thomas 2018 di IMPACT Arena, Bangkok, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
ISKANDAR (kiri) beraksi ketika bertemu Jorgensen dalam kumpulan D pada Piala Thomas 2018 di IMPACT Arena, Bangkok, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Iskandar Zulkarnain menggalas tugas berat untuk memburu mata kemenangan ketiga berdepan pemain perseorangan ketiga Denmark Jan O Jorgensen.

Di set pertama, Iskandar tenang mengawal permainan menang 21-16, namun gagal mengekalkan rentak apabila tewas di set kedua dan ketiga, 17-21,14-21, sekali gus menyaksikan Malaysia sekadar muncul naib juara kumpulan.

Undian suku akhir yang dijalankan kemudian meletakkan Malaysia berdepan Indonesia, sementara China berdepan Taiwan, manakala Denmark bertemu Korea Selatan.

Juara edisi 2014, Jepun diundi berdepan Perancis yang mengejutkan satu lagi pasukan pilihan, India di peringkat kumpulan untuk melangkah ke peringkat kalah mati.

Perlawanan suku akhir dijadualkan pada 8 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 2:46 AM