Anggota APMM dan polis mengangkat mayat yang ditemui di perairan ZEE Wilayah Timur, hari ini. - Foto Ihsan APMM
Anggota APMM dan polis mengangkat mayat yang ditemui di perairan ZEE Wilayah Timur, hari ini. - Foto Ihsan APMM
Azlan Hafeedz


Pasir Puteh: Satu mayat lelaki bertatu dipercayai warga asing dijumpai terapung di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Wilayah Timur oleh sekumpulan nelayan tempatan, hari ini.

Mayat tidak berbaju itu ditemui terapung pada jam 12 tengah hari, kira-kira 22 batu nautika dari Kuala Tok Bali.

Pengarah Operasi Maritim Malaysia Kelantan Kapten Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat daripada sekumpulan nelayan pada 10.50 pagi dan kapal KM Jujur yang membuat rondaan diarah ke lokasi.

"Sebaik tiba, krew KM Jujur melakukan pencarian selama 10 minit sebelum menemui mayat berkenaan.

“Pemeriksaan awal mendapati agak sukar mengenal pasti identiti mayat yang sudah membengkak dan keadaan fizikal yang agak teruk," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat berkenaan dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan dan dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 5:49 PM