SATE juga tidak kurang hebatnya apabila dibakar dengan garing.
SATE juga tidak kurang hebatnya apabila dibakar dengan garing.
RESTORAN Tam Nasi Ayam berwajah baru selepas melakukan beberapa pengubahsuaian.
RESTORAN Tam Nasi Ayam berwajah baru selepas melakukan beberapa pengubahsuaian.
Ketua Pusat Dapur Utama, Mohd Nazif Ab Rahman (kanan) memantau penyedian ayam panggang oleh pekerjanya, Kadir Salam (kiri) 22, di Pusat Dapur Utama Tam Nasi Ayam Seksyen 26 Shah Alam.
Ketua Pusat Dapur Utama, Mohd Nazif Ab Rahman (kanan) memantau penyedian ayam panggang oleh pekerjanya, Kadir Salam (kiri) 22, di Pusat Dapur Utama Tam Nasi Ayam Seksyen 26 Shah Alam.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Siapa sangka dalam usia muda, dia mampu mengendalikan rangkaian perniagaan nasi ayam malah disiplin serta kesungguhan menjadikan pemilik Restoran Tam Nasi Ayam, Muhammad Zubair Ismail, 33, antara contoh anak Melayu yang berjaya.

Jika dilihat pada luaran, ia kelihatan sama saja dengan restoran lain tapi sewaktu melangkah ke ruang makan, tahap kebersihan memang ada kelas termasuk di bahagian dapur.

Suasana di dapur tersusun dan bersih malah ruang makan yang agak selesa membolehkan ibu bapa memantau anak yang berlari ke sana ke mari.

Tidak hairan mengapa Restoran Tam Nasi Ayam mendapat tempat di hati peminat kerana kedudukannya yang strategik, bersih dan santai untuk menikmati makanan.

Menu yang disediakan begitu mengujakan dengan empat variasi iaitu nasi ayam madu, nasi ayam berempah, nasi ayam golek dan nasi ayam goreng.

Menu nasi ayam itu turut diserikan dengan hidangan seperti tomyam, sup tulang dan menu bergoreng.

Lebih istimewa, Restoran Tam Nasi Ayam turut membuka peluang niaga kepada peniaga gerai kerana mereka dibenarkan menyediakan pelbagai masakan lazat, sesuai dengan konsep restoran itu yang mengutamakan kekeluargaan.

Gerai peniaga kecil terbabit menyediakan makanan seperti sotong bakar, ayam gunting, burger bakar, rojak dan pasembor, char kuetiau, pisang cheese jakarta, sate, roti bakar teloq meleleh, otak-otak, roti nan dan capati.

Beliau berkata, restorannya menerima kunjungan lebih 10,000 pelanggan setiap bulan.

“Restoran yang dibuka setiap hari ini turut mengambil tempahan melalui telefon bersama deposit, namun perlu dilakukan tiga hari lebih awal bagi mengelak restoran menanggung kerugian jika pelanggan membatalkan pesanan secara tiba-tiba.

“Di bazar Ramadan, kebanyakan ayam golek datang tanpa set nasi. Kebetulan sebagai pengusaha nasi ayam, saya memulakan idea nasi ayam golek pada Januari 2014 dengan harga RM6.80 satu set.

“Pada hari pertama, hanya 28 set saja terjual. Namun, usaha tidak jemu membolehkan ia menjadi makanan kegemaran orang ramai,” katanya.

Jika pengunjung mencuba keenakan set nasi ayam golek, pastinya terliur dengan kelazatan ayam panggang yang diperam perencah tersendiri.

“Saya sanggup beli resipi perencah itu dengan harga yang mencecah ribuan ringgit daripada seorang pengusaha ayam golek di kampung.

“Mungkin kedengaran mahal dan antara pelaburan yang berisiko tapi saya berani pertaruhkan bagi memperkenalkan kelazatan ayam golek Kedah.

“Nasi ayam golek ini berbeza dengan nasi ayam lain kerana turut menyediakan sambal belacan yang sebati dengan ‘tekak’ orang Melayu.

“Beras bagi nasi ayam saya beli di Kedah seba­nyak enam tan sebulan bagi menyokong keperluan restoran di Seksyen 23, Shah Alam; Taman Tun Dr Ismail, Shah Alam dan Seremban 2.

“Alhamdulillah, ia mendapat permintaan ramai kerana mereka melihat sendiri pekerja restoran membakar dan menggolek ayam,” katanya.

Tidak dinafikan, Restoran Tam Nasi Ayam dipuji dari segi perkhidmatan yang disediakan apabila mengambil tempahan, menyediakan makanan dan menghantar kepada pelanggan.

Sesuatu yang menarik lagi, Zubair turut memulakan Bakat Pencarian Bisnes Tam Nasi Ayam yang menyasarkan golongan muda berusia 21 hingga 35 tahun.

“Ramai belia Melayu tidak tahu bagaimana mahu mencari rezeki jika tidak bekerja dengan kerajaan atau meneruskan pengajian.

“Justeru, kami memberi elaun diikuti gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PERKESO, cuti tahunan dan kontrak bagi tempoh percubaan serta kemudahan lain jika menjalani latihan di restoran ini.

“Saya turut mempelawa siswa menjalani latihan amali di sini supaya mereka mampu menikmati suasana sebenar bekerja di sebuah restoran.

“Jika mempunyai kelebihan dan mampu me­ngembangkan perniagaan, mereka diberi peluang membuka cawangan Restoran Tam Nasi Ayam tapi kami akan menapis dan hanya yang berdisiplin tinggi diberi peluang itu,” katanya.

Untuk menjadi pelatih, katanya mereka perlu belajar perkara asas iaitu sebagai pembantu tukang masak, pelayan, juruwang, penolong pengurus dan pengurus restoran.

“Daripada ramai yang menjalani latihan, hanya dua pelatih masih kekal dan bersemangat meneruskan perjuangan.

“Pekerja turut diberi komisen, tetapi berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 3:26 PM