Suasana di D’Rumoh Pata yang dipenuhi pengunjung untuk menikmati hidangan istimewa disediakan.
Suasana di D’Rumoh Pata yang dipenuhi pengunjung untuk menikmati hidangan istimewa disediakan.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Hikmah di sebalik dugaan benar-benar dirasai sekeluarga di Kampung Tanjung Gelam di sini.

Tiga tahun lalu rumah mereka di tepi Pantai Tanjung Gelam nyaris musnah akibat hakisan, malah sentiasa kebimbangan setiap kali musim tengkujuh kerana fenomena ombak besar.

Bagaimanapun, tindakan menambak kawasan rumah dan membina benteng penahan ombak dengan kos sendiri membolehkan keluarga itu menikmati kehidupan lebih selesa.

Kediaman itu juga kini menjadi tumpuan orang ramai termasuk dari luar Terengganu apabila dijadikan kedai makan dengan label D’Rumoh Pata yang berkonsepkan santai dan moden.

Nurul Akhtar Che Mohd Taib, 33, berkata, dia dan keluarganya lega apabila masalah hakisan diatasi terutama apabila kerajaan mula membina benteng penahan ombak di tepi pantai berdekatan rumahnya sejak 2016.

Lebih bangga apabila keputusan membuka kedai makan di situ menghasilkan pendapatan lumayan untuk keluarga mereka.

“Kami membuka kedai ini September 2017 dan nama kedai dipilih adalah inspirasi daripada rumah ibu yang nyaris dihanyutkan ombak besar tiga tahun lalu selain mengembalikan nostalgia pesta pantai popular pada 80-an.

“Ketika kejadian itu, kolam renang di kawasan rumah musnah akibat hakisan dan kami mengumpul wang untuk membuat penahanan ombak sendiri sebelum saya ambil keputusan buka kedai ini.

“Keseluruhan kos mencecah RM200,000 termasuk bagi membuka kedai makan ini. Hidangan istimewa yang disediakan adalah ayam goreng bawang putih dan tulang goreng,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia mempunyai masalah mendapatkan kedai sesuai dan pernah menyewa tapak kedai orang lain hingga menimbulkan pelbagai isu.

“Selepas melihat kawasan rumah ibu selamat dan tapak yang ditambak luas, saya buat keputusan mengusahakan kedai makan di sini,” katanya yang memberitahu kedai itu beroperasi bermula jam 5 petang hingga 1 pagi.

Menurutnya, dia mampu menggaji 16 pekerja termasuk tukang masak dan menyediakan 50 menu dengan kelainan dibuat apabila membuka enam gerai jualan.

Katanya, kedai itu mampu menampung 300 pelanggan dalam satu-satu masa dan dia memperuntukkan RM3,000 untuk kos penyelenggaraan bagi memastikan lokasi itu terus selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 5:20 AM