ADIBAH tak putus asa untuk terus anjurkan konsert. - FOTO Arkib NSTP
ADIBAH tak putus asa untuk terus anjurkan konsert. - FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi Adibah Noor mengakui dia kerugian ketika menganjurkan konsert Adibah Noor Into The 3rd Decade yang berlangsung pada 21 dan 22 Oktober lalu.

Adibah, 46, berkata, konsert yang diadakan di KL Pac, di sini, itu mengalami kerugian berikutan kegagalan dalam penjualan tiket.

“Saya menggunakan duit sendiri tanpa sebarang penaja untuk konsert itu. Dari segi perjalanan konsert saya sangat berpuas hati dan semua pihak yang terbabit menjayakan konsert ini memberikan kerjasama baik.

"Cuma sambutan dan penjualan tiket agak perlahan. Memang tak pulang modal langsung. Duit yang dikeluarkan lebih banyak berbanding untung,” katanya.

Adibah turut mengakui dia terpaksa meminjam wang daripada beberapa rakannya untuk dijadikan modal dalam menjayakan konsert itu.

Selain Adibah, turut sama menjayakan konsert terbabit ialah Misha Omar, Nassier Wahab, Dina Nadzir dan Sam Innuendo.

Bagaimanapun, Adibah yang juga penyanyi lagu Terlalu Istimewa tidak berputus asa untuk mengadakan konsert sama pada masa akan datang.

“Mengikut perancangan asal, konsert itu akan diadakan di tiga lokasi iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

"Kalau boleh di dua lokasi itu saya nak mencari tempat yang berskala kecil saja. Saya tak nak lagi di tempat yang besar sebab bimbang terjadi masalah sama.

"Apa yang berlaku sebelum ini sedikit pun tidak mematahkan semangat saya walaupun perlu menanggung rugi. Ini kerana permintaan untuk menjayakan konsert sedemikian masih ada cuma perlu bekerja keras untuk mencari penaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 6:21 PM