ALLAHYARHAMAH Adibah Noor pada sidang media Gegar Vaganza 8 di VE Hotel and Resident, Bangsar South City.
ALLAHYARHAMAH Adibah Noor pada sidang media Gegar Vaganza 8 di VE Hotel and Resident, Bangsar South City.
Norhayati Nordin


'KAU terlalu istimewa', korus lagu Terlalu Istimewa yang pernah mengangkat nama Allahyarhamah Adibah Noor di persada industri hiburan pada 2006 ini nyata cukup tepat menggambarkan keperibadian dirinya.

Menerusi lagu ini yang lirik juga ditulis Adibah mengenai seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab, melayakkan arwah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-21 pada 2006 untuk kategori balada, vokal terbaik dan lagu terbaik.

Adibah susuk yang cukup 'istimewa' sebagai penggiat seni pernah menjadi guru Bahasa Inggeris sebelum akhirnya memilih mengabadikan diri sebagai penggiat seni.

Namun, sinar karier seni arwah nampaknya lebih dulu bermula sebagai pelakon di mata peminatnya menerusi filem Sepet arahan Allahyarham Yasmin Ahmad pada 2004 dengan watak Kak Yam yang seterusnya dikembangkan atau dikekalkan dalam filem Gubra dan Mukhsin. Ternyata karakter itu cukup meninggalkan kesan kepada penonton.

Kecintaan Adibah pada karier seni amat menebal apabila arwah bukan saja aktif berlakon dan menyanyi, tetapi turut bergelar penyampai radio.

Seorang yang ceria dan mudah mesra, Adibah juga lantang bersuara dan suka menegur terutama dalam sebutan Bahasa Inggeris yang betul. Baginya, teguran diberi bukan bertujuan untuk menjatuhkan sesiapa tetapi berkongsi ilmu dengan khalayak mengenai penggunaan sebutan yang betul.

Apapun, kelmarin seluruh industri hiburan tempatan dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarhamah Adibah yang benar-benar menyentap emosi peminat, rakan-rakan selebriti dan teman media.

Selain pemergian secara mengejut itu, ramai berasa terkilan kerana tidak mengetahui derita penyakit kanser ovari tahap empat yang ditanggung Adibah kerana dia memilih untuk berahsia dan hanya berkongsi dengan beberapa rakan artis yang rapat dengannya.

Selaku anak seni yang versatil dalam 'kelas tersendiri'. Adibah juga dikata ada perancangan untuk menjayakan mini konsert, 'Into the 3rd Decade' yang dirancang di KL Pac Kuala Lumpur pada Oktober depan, dan tidak kesampaian.

Apapun, Adibah yang juga finalis Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) pada awal Januari lalu cukup komited untuk menyerlahkan semula kerjaya nyanyiannya dengan merancakkan pelbagai aktiviti. Namun, segala perancangan kehidupan manusia adalah milik Allah SWT.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 6:45 AM