Mangsa yang cedera dirawat di kaki lima hospital di Pidie Jaya manakala gambar kanan, seorang wanita meratapi anggota keluarganya yang terbunuh. - Foto AFP/CHAIDEER MAHYUDDIN
Mangsa yang cedera dirawat di kaki lima hospital di Pidie Jaya manakala gambar kanan, seorang wanita meratapi anggota keluarganya yang terbunuh. - Foto AFP/CHAIDEER MAHYUDDIN
Anggota penyelamat membongkar runtuhan di sebuah bangunan di daerah Pidie Jaya bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus. - Foto AFP/ CHAIDEER MAHYUDDIN
Anggota penyelamat membongkar runtuhan di sebuah bangunan di daerah Pidie Jaya bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus. - Foto AFP/ CHAIDEER MAHYUDDIN
AFP

Meureudu, Aceh: Semakin banyak mayat ditemui di bawah runtuhan bangunan dan rumah menyebabkan jumlah korban gempa bumi yang melanda Aceh pagi tadi, sudah hampir mencapai 100 orang.

Pegawai pemerintah tentera Indonesia wilayah Aceh, Mejar Jeneral Tatang Sulaiman berkata: “Kami sudah menemui 97 mayat dan jumlah semakin banyak dengan cepat.

“Kadang-kadang kami (pasukan penyelamat) menarik keluar lima mayat, ada waktunya 10 mayat dari bawah runtuhan.”

Pusat pengumpulan data United States Geological Survey (USGS) menyatakan, gempa bawah laut itu berlaku pada 5:03 pagi waktu tempatan (2203 GMT) berpusat 10 kilometer di utara Reuleut, sebuah pekan di utara Aceh, pada kedalaman 17 kilometer.

Tentera kini mengambil alih sepenuhnya operasi mencari dan menyelamat selepas kerajaan mengisytiharkan darurat di Aceh.

Lebih 1,000 tentera dan 900 polis digerakkan ke Aceh untuk operasiu itu serta membeli bantuan kemanusiaan lain, termasuk menyediakan tempat perlindungan.

Ratusan bangunan, termasuk masjid, kedai dan rumah musnah sama sekali menyebabkan pihak berkuasa menjangka jumlah korban akan menjadi lebih besar kerana masih banyak runtuhan belum dialihkan.

Menurut pekerja bantuan tempatan, Puteh Manaf, ada sesetengah kawasan masih mendapat bekalan elektrik manakala beberapa tempat menggunakan generator.

“Mangsa memerlukan makanan dan air. Kami bimbang penyakit merebak apabila hujan,” katanya.

Satu-satunya hospital di Pidie Jaya, daerah paling teruk terjejas, kini sesak dengan pesakit yang sesetengahnya dirawat di atas rumput di luar bangunan.

Menurut ketua pegawai perubatan Said Abdullah, hampir 200 mangsa yang cedera dihantar ke hospital itu namun pihaknya memberi rawatan di luar kerana bimbangkan gegaran susulan.

“Kami membawa keluar katil kerana tiada siapa berani berada dalam bangunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 6:23 PM