AFP

Bangkok: Rakyat Thailand semalam menantikan detik bersejarah pengisytiharan rasmi Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn sebagai Raja baru mereka, sekaligus membuka era baru dinasti diraja negara itu.

Maha, 64, yang mewarisi institusi beraja antara terkaya di dunia itu, menaiki takhta 50 hari selepas kematian bapanya, Raja Bhumibol Adulyadej.

Pada senja semalam, putera itu tiba di Istana Besar, lokasi mayat bapanya disimpan untuk upacara keagamaan bagi menandakan 50 hari kematian raja itu.

Maha yang akan digelar Rama X dari Dinasti Chakri selepas ditabalkan, menerima rombongan diketuai Perdana Menteri dan Speaker Parlimen untuk menjemputnya menjadi raja.

Pengisytiharan itu dinantikan rakyatnya yang berpusu-pusu membeli portret Maha selain bendera dengan lambang bakal raja mereka itu selain merancang pelbagai sambutan untuk meraikan pertabalannya yang akan diadakan selepas upacara pembakaran mayat bapanya, tahun depan.

“Saya datang ke Bangkok membeli portretnya untuk diletakkan di sekolah saya,” kata Chaikit Wutthivaree, 34, guru di wilayah Pathum Thani yang membeli portret berukuran 120 sentimeter pemimpin itu.

Puluhan kedai berhampiran Kuil Wat Bowonniwet Vihara yang menjual lambang dan gambar diraja sejak berdekad lalu berkata, jualan gambar Maha meningkat sejak beberapa hari lalu.

Bhumibol meninggal dunia pada 13 Oktober lalu selepas memerintah Thailand selama tujuh dekad dan dianggap sebagai simbol perpaduan negara itu.

Rakyat Thailand sangat menghormati dan menyayangi Bhumibol malah imej keluarga diraja itu dilindungi ketat oleh undang-undang.

Majlis semalam menamatkan kontroversi susulan pengumuman mengejut Maha yang mahu pengisytiharannya sebagai raja ditangguh selepas kematian Bhumibol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 8:18 AM