SEORANG wanita menggantung gambar Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn di kedainya di Bangkok kelmarin. - EPA
SEORANG wanita menggantung gambar Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn di kedainya di Bangkok kelmarin. - EPA
AFP

Bangkok: Parlimen Thailand secara rasmi semalam menjemput Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn menjadi raja negara itu yang baru sekali gus menghentikan segala spekulasi susulan kemangkatan bapanya bulan lalu.

Thailand kini dalam tempoh berkabung susulan kematian Raja Bhumibol Adulyadej pada 13 Oktober lalu, menamatkan pemerintahan selama tujuh dekad.

Pelbagai spekulasi timbul selepas kerajaan mengumumkan Maha meminta pengisytiharannya sebagai raja yang baru ditangguhkan supaya dia boleh berkabung bersama rakyat.

“Saya akan menjemput Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn untuk menaiki takhta dan menjadi raja kepada rakyat Thailand,” kata Presiden Dewan Perhimpunan, Pornpetch Wichitcholchai.

Semua anggota dewan itu kemudian bangun dan melaungkan: “Daulat Tuanku!”.

Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan berkata, jemputan itu adalah antara proses pertabalan seorang raja mengikut istiadat diraja Thailand.

Mengikut protokol, Speaker dewan kini perlu memohon perkenan untuk mengadap putera mahkota bagi menjemputnya mewarisi takhta, langkah terakhir sebelum diisytiharkan sebagai raja baru.

Kata Prawit, Speaker dewan akan mengadap putera mahkota sama ada pada hari ini atau esok.

Maha, 64, ditabalkan sebagai putera mahkota dan pewaris takhta diraja Thailand selama lebih empat dekad.

Bagaimanapun, Maha sering berada di luar negara terutama di selatan Jerman, tempat dia memiliki hartanah.

Satu sumber tentera memberitahu, putera mahkota berkenaan kini masih berada di Jerman. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 7:34 AM