ELFEE
ELFEE
Nor Akmar Samudin


Pengalaman lalu mengajar Elfee untuk lebih berhati-hati agar tidak tertipu lagi malah dia kini lebih selesa menguruskan sendiri kerjaya seni.

Pelbagai tohmahan diterima anak muda ini, tetapi dia tidak melatah apatah lagi menggunakan media sosial untuk meluahkan isi hatinya.

Berkat kesabarannya menghadapi segala rintangan, dia tampil dengan azam baru. Dia juga tidak mahu ambil pusing kata-kata orang sekeliling kerana apa yang lebih penting baginya adalah merealisasikan impian menjadi penyanyi terkenal.

“Mengejar cita-cita lebih penting daripada segala-galanya. Elok saya pekakkan telinga dan fokus pada kerja,” katanya.

Rancak membuat persiapan melancarkan single baru berjudul Nadi Cinta dan Ketulusan Cinta, tiada siapa dapat menyekat dirinya untuk mara mengejar impian. Kedua-dua single itu dimuatkan dalam album penuh yang akan dilancarkan penghujung Disember ini.

“Setiap apa yang berlaku ada hikmah dan ia tidak sedikit pun melemahkan semangat saya malah makin bersemangat memburu cita-cita. Sokongan keluarga, rakan karib dan media menyuntik keyakinan kepada saya untuk kembali aktif menyanyi.

“Disebabkan itu saya tidak gentar tampil dengan album penuh yang memuatkan lapan lagu. Jika mahu melihat sejauh mana saya boleh pergi dalam bidang ini, saya mesti berani mencabar diri. Album ini juga sebahagian tanggungjawab saya sebagai anak seni bagi merancakkan lagi industri.

“Saya menyepi seketika bukan kerana meratapi nasib diri, tetapi mahu mengatur semula strategi dan pada masa sama turut menceburi bidang perniagaan. Saya mulakan dengan belajar berniaga makanan. Syukur saya dipertemukan dengan orang yang baik dan tidak lokek berkongsi rezeki serta ilmu niaga. Alhamdulillah dengan apa yang dilalui, kini saya lebih gembira dan tidak sabar bertemu peminat semula,” katanya.

Elfee atau nama sebenarnya Mohd Hefni bin Mohamed@Abdul Manap, kini menetap di Johor Bahru dan sering berulang-alik ke Kuantan, Pahang untuk urusan perniagaannya. Dia juga ke Brunei dan Indonesia untuk melihat peluang perniagaan di sana.

“Selepas berjaya menempuh ujian, Allah SWT menggantikanya dengan sesuatu yang lebih berharga. Kawan saya semakin ramai dan mereka yang pernah menuduh saya dulu kembali menghubungi saya. Tiada dendam di hati, apa yang sudah berlaku, biarlah ia berlalu pergi.

“Kepada yang menabur fitnah dan berniat jahat pada saya, saya serahkan untung nasibnya kepada Allah SWT,” katanya.

Elfee yang kehilangan ibu bapa turut menegaskan apa yang berlaku sebelum ini tidak menjadi kudis.

“Kehilangan ibu bapa sangat memilukan kerana mereka adalah ‘nyawa’ saya.

“Saya anggap setiap dugaan sebagai peringatan kepada diri sendiri untuk menjadi insan dan hamba Allah yang lebih baik. Mujur ada abang dan kakak yang menjadi sumber kekuatan saya sekarang,” katanya.

Sebelum menoktahkan bicara, Elfee sempat berpesan kepada peminat supaya menyokong kemunculan albumnya pada Disember ini.

“Setiap lagu yang dimuatkan dalam album ini melambangkan jiwa saya yang sebenar,” katanya.

Untuk mengenali Elfee dengan lebih dekat boleh mengikuti perkembangannya di Instagram @elfee_hefny.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 9:28 AM