SEBANYAK 10 kawah bubur asyura dimasak secara bergotong-royong membabitkan penduduk tujuh kampung.
SEBANYAK 10 kawah bubur asyura dimasak secara bergotong-royong membabitkan penduduk tujuh kampung.
MENYEDIAKAN bahan untuk memasak bubur asyura di Surau Dataran Jambatan Luat, Lenggong.
MENYEDIAKAN bahan untuk memasak bubur asyura di Surau Dataran Jambatan Luat, Lenggong.
D J Dolasoh

Setiap kali diadakan gotong-royong kenduri-kendara termasuk sambutan hari kebesaran Islam, wanita insan paling sibuk membantu kaum lelaki menyediakan hidangan. Senario ini kelihatan masih ketara terutama di kampung kerana masyarakatnya terus memelihara semangat bekerjasama dan saling bantu-membantu bagi mengukuhkan silaturahim yang sedia terjalin.

Bersempena sambutan Awal Muharam yang lalu, Surau Dataran Jambatan Luat, Lenggong, Perak mengadakan program memasak bubur asyura dengan disertai lebih 100 penduduk membabitkan tujuh kampung. Sebanyak 10 kawah bubur asyura disediakan secara bergotong-royong sejak awal pagi lagi.

Program terbesar yang diusahakan pihak surau membabitkan wakil penduduk dari kampung sekitar antaranya Kampung Banggol Batu, Tampan Air, Changkat Berangan, Kuak, Gelok, Pekan Lenggong dan Kampung Luat.

Gotong-royong turut disertai kira-kira 50 pelajar Maahad Tahfiz Lid Dakwah Wal Imamah, Kampung Luat dengan kerjasama kedai Bridge Corner bermula dari selepas Subuh sehingga selesai memasak kira-kira jam 4 petang.

Menurut Pengarah Program, Badrin Zakaria, 51, program tahun ini yang terbesar kerana menyediakan 10 kawah bubur asyura dengan pembabitan penduduk yang ramai.

“Semua kerja dilakukan secara bergotong-royong termasuk menebang dan menarik pokok kayu kering serta mengangkutnya untuk dijadikan kayu api dan mengacau bubur asyura yang mengambil masa lebih enam jam. Tahun lalu kita masak tiga kawah saja, tetapi kali ini 10 kawah hasil sumbangan wang daripada orang ramai,” katanya.

Jelasnya lagi, tujuan utama program ini diadakan bagi mengeratkan silaturahim antara penduduk di beberapa kampung di samping mengagihkan bubur asyura kepada orang ramai di semua kampung terbabit.

“Jawatankuasa surau terbabit turut mengadakan ceramah Maal Hijrah pada sebelah malam bagi memberi kefahaman mendalam mengenai hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah untuk dijadikan contoh dalam menyatukan ummah masa kini.

“Program berjaya mencapai matlamatnya dan kami bercadang akan menjadikannya sebagai acara tahunan membabitkan lebih ramai penduduk dan jumlah asyura tahun depan,” katanya.

Zabidah A Rashid, 57, yang turut serta dalam acara ini berkata, dia bersama berpuluh wanita lain menyediakan pelbagai bahan untuk memasak bubur asyura sejak awal pagi di surau berkenaan bagi memastikan makanan tradisional itu sedap dan boleh dihidangkan mengikut masa dirancang.

“Kami juga berganding bahu memasak nasi dan lauk pauk sajian tengah hari untuk semua peserta progra secara sukarela dan dengan keizinan suami masing-masing.

“Program seperti ini banyak manfaat kerana kami dapat berbakti kepada orang lain di samping berkenalan dengan wanita dari kampung lain yang datang bersama menyumbang tenaga bagi menjayakan acara baik ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 5:07 AM