Aziman Rosdi


Yangon: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) percaya kejayaan penyerang Pulau Pinang Faiz Subri berada dalam senarai pencalonan 10 gol terbaik untuk merebut anugerah Puskas akan memberi impak positif kepada arena bola sepak tanah air.

Setiausaha Agung FAM berkata, pencapaian Faiz itu untuk berada dalam kelompok pemain terbaik dunia dalam anugerah anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan mendorong lebih ramai pemain tempatan untuk meningkatkan prestasi.

“Ini akan menjadi satu perkara yang baik terutamanya kepada bola sepak negara kerana jaringan ini sudah mendapat perhatian di dalam media sosial serta FIFA.

“Saya berharap jaringan Faiz akan memenangi anugerah (Puskas) ini di mana kita sudah menghantar pencalonan ini (22 Februari) sebelum tarikh tutup pada (September) tahun ini.

“Saya kira mungkin ini kali pertama (mendapat pencalonan) 10 gol terbaik di dunia dan kalau kita menang, itu sudah pasti lebih baik. Tahniah sekali lagi kepada Faiz Subri sendiri kerana dapat membuat jaringan yang cantik ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Jaringan Faiz ketika menewaskan Pahang 3-0 dalam aksi Liga Super, 16 Februari lalu menarik perhatian seluruh dunia apabila sepakan percuma yang dikatakan melanggar ‘hukum fizik’ dengan melencong menerjah ke gawang melayakkannya berdiri sebaris dengan gol bintang bola sepak dunia antaranya Lionel Messi dan Neymar.

FAM yang mengambil inisiatif mengemukan permohonan rasmi kepada FIFA dengan menyertakan video jaringan itu merancang untuk memberikan ganjaran kepada Faiz,29, jika berjaya merangkul anugerah yang diperkenalkan pada 2009 itu.

“Saya kira FAM akan memberikan penghargaan kepada Faiz. Kita doakan jaringan itu akan dapat terpilih sebagai pemenang anugerah Puskas .

“Saya rasa belum dapat fikirkan lagi bentuk penghargaan kerana biar kita tunggu keputusan dulu,” kata Hamidin.

Tiga jaringan terbaik akan disenarai pendek dalam anugerah Puskas pada 2 Disember sebelum diumumkan pemenang dalam majlis Ballon d’Or pada 9 Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 7:40 AM