Kuala Lumpur: Peluang Faiz Subri (gambar) untuk merebut Anugerah Puskas 2016 tampak cerah selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sedia mempertimbangkan bagi mencalonkan gol ajaib jaringan pemain Pulau Pinang itu.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi kenyataan media selepas mereka menerima surat daripada FIFA semalam.

Surat yang ditandatangani Pemangku Setiausaha Agung FIFA Markus Kattner itu turut menyatakan penghargaan kepada FAM kerana menghantar surat cadangan pencalonan gol Faiz berserta salinan video gol untuk dinilai pada 20 Februari lalu.

Katner berkata, biarpun FIFA tidak boleh memberi jaminan gol berkenaan akan menjadi antara 10 calon akhir untuk Anugerah Puskas FIFA 2016 namun ia tetap dalam pertimbangan mereka.

Faiz, 29, yang dihubungi Arena Metro nyata gembira dengan perkembangan terbaru itu dan berharap jaringan yang mendapat perhatian peminat bola sepak dunia itu dapat melakar sejarah baru negara.

“Syukur kerana FIFA sedia menilai jaringan saya itu bagi dicalonkan untuk Anugerah Puskas 2016.

“Terima kasih juga untuk FAM yang menghantar video kepada FIFA. Jika dapat berada dalam senarai 10 gol tercantik dunia tahun ini juga sudah dianggap pencapaian baik untuk saya,” katanya.

Sebelum ini Faiz, sekelip mata mencipta nama selepas menjaringkan gol menakjubkan menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 32 meter ketika perlawanan Liga Super antara Pulau Pinang dengan Pahang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 10:13 AM