FEDERER (kanan) mungkin bakal berentap bersama Djokovic pada aksi suku akhir. FOTO/AFP
FEDERER (kanan) mungkin bakal berentap bersama Djokovic pada aksi suku akhir. FOTO/AFP
AFP

NEW YORK: Juara lima kali Roger Federer dijangka akan bertemu Novak Djokovic di suku akhir Terbuka Amerika Syarikat, manakala Serena dan Venus Williams dijadualkan bertembung di pusingan ketiga. 

Federer, pilihan kedua akan membuka saingan menentang pemain Jepun, Yoshihito Nishioka dan dalam undian yang dikeluarkan semalam turut menampilkan pilihan keenam Djokovic, juara Wimbledon yang mengalahkan pemain Switzerland pada final di Cincinnati Masters minggu lalu, dalam kelompok undian yang sama.

Pilihan keempat Alexander Zverev dan pilihan ketujuh Marin Cilic, juara Terbuka AS 2014, juga berada dalam kelompok undian bersama Federer. Nick Kyrgios pilihan ke-30 dari Australia, dijangka akan berdepan Federer di pusingan ketiga.

“Sudah tentu Novak dan Roger, mereka bermain dengan sangat  baik di gelanggang keras kerana mereka sukannya,” kata pilihan utama dan juga juara bertahan Rafael Nadal ketika melihat undian yang dikeluarkan di Lower Manhattan. “Kita lihat apa yang akan berlaku nanti.”

Nadal akan membuka kempen dengan aksi menentang rakan senegaranya David Ferrer, dan ia dilihat sebagai perlawanan ulangan final Terbuka Perancis 2013. 

Ia akan menjadi pertemuan ke-31 antara rakan pasukan dalam Piala Davis itu dengan rekod memihak kepada Nadal 24-6. Jika Nadal berjaya mara ke suku akhir dia dijangka akan menentang pilihan kelima dan finalis Wimbledon, Kevin Anderson, lawan yang ditemuinya di final Flushing Meadows tahun lalu.

Andy Murray akan turun beraksi di Grand Slam pertamanya sejak Wimbledon tahun lalu namun dia masih lagi bergelut mendapat semula tahap kecergasan yang optimum selepas menjalani pembedahan tulang pinggul Januari lalu, diundi menentang James Duckworth dari Australia yang menduduki ranking 44 dunia dalam aksi pembukaan. 

Sementara itu dalam undian wanita, Serena yang kini mengejar rekod memenangi kejuaraan Grand Slam ke-24 diletakkan pilihan ke-17 biarpun menduduki ranking ke-26 dunia. 

Pegawai Terbuka AS memaklumkan enam gelaran yang berjaya dirangkul Serena menentukan kedudukannya untuk kejohanan itu selepas dia tidak beraksi di Flushing Meadows tahun lalu kerana melahirkan anak perempuan sulung Olympia pada 1 September tahun lalu. 

Serena akan bertemu pemain Poland, Magda Linette pada pusingan pertama namun kedudukannya sebagai pemain pilihan tidak membantunya dari kemungkinan bertemu kakaknya yang juga pilihan ke-16 Venus di pusingan ketiga.

Ia akan menjadi pertemuan terawal mereka di Grand Slam sejak Venus menewaskan Serena di pusingan kedua Terbuka Australia pada 1998. 

Namun Venus dijangka berdepan kesukaran di perlawanan pembukaan apabila diundi menentang juara 2004 Svetlana Kuznetsova yang mendapat wild card ke undian utama selepas kembali selepas menjalani pembedahan pergelangan tangan.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 11:50 AM