MURID didedahkan dengan permainan Kit Bijak Wang untuk mempelajari ilmu asas pengurusan kewangan.
MURID didedahkan dengan permainan Kit Bijak Wang untuk mempelajari ilmu asas pengurusan kewangan.
LAWATAN sehari ke UPM memberi pendedahan kepada murid SK Pulau Redang meneroka pelbagai aktiviti yang menjurus kepada proses pembelajaran sepanjang hayat.
LAWATAN sehari ke UPM memberi pendedahan kepada murid SK Pulau Redang meneroka pelbagai aktiviti yang menjurus kepada proses pembelajaran sepanjang hayat.
Ruhaiza Rusmin


Fakulti Ekologi Manusia (FEM) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Redang, Kuala Terengganu, menganjurkan program RedangJunior@UPM untuk memberi peluang kepada murid sekolah pulau itu merasai pengalaman di institusi pengajian tinggi (IPT), baru-baru ini.

Ketua program, Dr Muslihah Hasbullah berkata, program transformasi pendidikan itu bermatlamat membantu meningkatkan pencapaian akademik serta mengukuhkan sahsiah murid.

“Objektif program untuk meneruskan pembelajaran melalui pengalaman (experiential learning) dengan meneroka pembelajaran di luar bilik darjah.

“Dengan sokongan murid dan guru sekolah berkenaan, secara tidak langsung dapat mengukuhkan jaringan kerjasama antara FEM dengan sekolah angkat,” katanya.

Program itu adalah kesinambungan Jelajah Siswa Kembara Insan 3 (JESKI 3), iaitu jaringan komuniti dan transformasi pendidikan yang dijalankan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga (JPMPK) FEM di Pulau Redang selama tiga tahun berturut-turut (2014-2016).

“Hasil kerjasama itu, program berkenaan diiktiraf sebagai berimpak tinggi dan seterusnya menjadi program angkat FEM pada 2015.

“Ini inisiatif penting bagi mendedahkan murid dengan aktiviti pembelajaran sepanjang hayat serta memupuk budaya cintakan ilmu,” katanya.

Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Sains (Pembangunan Manusia) UPM Nurhilmiyani Ismail berkata, bertugas sebagai fasilitator untuk program itu membantu beliau meningkatkan kemahiran insaniah (KI) serta peluang menyumbang ilmu kepada murid terbabit.

“Program ini membantu saya meningkatkan kemahiran berkomunikasi bersama murid selain diharap dapat membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

“Pendedahan awal mengenai pembelajaran dan kehidupan di kampus diharap dapat membuka minda mereka untuk belajar ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Program dengan kerjasama Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Rakit itu disertai 31 murid serta lapan guru pengiring SK Pulau Redang ke UPM untuk lawatan sehari.

Mereka dibawa merasai pengalaman di Edu Park UPM iaitu di Ladang Rusa, Muzium Anatomi Haiwan di Fakulti Perubatan Veterinar serta Muzium Anatomi Manusia di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan selain mempelajari pengurusan kewangan melalui permainan ‘Kit Bijak Wang’.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 11:02 AM