FOTO kenangan peserta Cilik Pertanian eDU-PARK@UCTC UPM.
FOTO kenangan peserta Cilik Pertanian eDU-PARK@UCTC UPM.

PUSAT Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia menganjurkan Cilik Pertanian eDU-PARK@UCTC UPM baru-baru ini bagi memupuk minat kanak-kanak dalam bidang pertanian.

Seramai 28 kanak-kanak yang berusia antara tujuh hingga 15 tahun mengikuti program itu mendapat pendedahan untuk memahami kepentingan pertanian sebagai sumber makanan serta membina kemahiran baharu dalam pertanian dan mengenali anatomi haiwan.

Ketua program, Muhammad Syafiq Kamal berkata, universiti bukan sekadar pusat pendidikan untuk mahasiswa semata-mata, malah adalah milik masyarakat termasuk kanak-kanak untuk mendapatkan ilmu pengetahuan di menara gading.

"Pendedahan awal kanak-kanak dengan suasana kampus dapat menyuntik semangat dan meletakkan azam dalam diri mereka supaya suatu hari nanti akan memilih UPM untuk menyambung pelajaran kelak," katanya.

Peserta program, Nurain Syakirah Mohd Zain, 15, berkata dia teruja mengikuti program berkenaan dan memperoleh pelbagai ilmu pertanian yang bakal dimanfaatkan kelak.

"Program ini sangat bagus dan aktiviti yang dijalankan di sini memberikan pengetahuan baharu dan menimbulkan minat untuk saya untuk mendalami ilmu pertanian. Saya juga dapat menambahkan kenalan baharu dan bertukar-tukar pandangan mengenai aktiviti di sini," katanya.

Sementara itu, seorang ibu kepada peserta program, Shararina Ab Rahman berkata, dia berpuas hati dengan pengisian aktiviti dan berharap program sebegitu dapat diteruskan lagi terutama pada musim cuti sekolah.

"Terima kasih UPM dan tenaga pengajar yang terbabit dalam program ini saya berharap UPM akan terus menganjurkan program sebegini kerana bukan sahaja memberi ilmu malah anak-anak saya juga seronok seronok menyertainya," katanya.

Selain itu pelbagai aktiviti menarik disediakan di dalam program ini antaranya semaian biji benih, membuat kokedama, hidroponik dan pembuatan baja organik cecair dengan bimbingan pegawai di UCTC UPM.

Pada masa sama, peserta turut melawat lokasi penanaman cendawan tiram kelabu dan menuai cendawan, melawat tempat ternakan puyuh dan ternakan ikan tilapia di plot showcase UCTC UPM.

Menariknya, peserta boleh membawa pulang setiap bahan yang digunakan dalam aktiviti pertanian itu.

Peserta juga turut melawat Muzium Anatomi Haiwan yang di Fakulti Perubatan Veterinar iaitu muzium yang dibuka kepada orang awam untuk lawatan di bawah eDU-PARK UPM.

Antara lokasi lain pakej agro pelancongan yang ada di UPM adalah Muzium Anatomi Manusia, Muzium Patalogi Manusia, Muzium Warisan Melayu, Ladang Rusa, Pusat Ekuin Putra (kuda), dan Ladang Bersepadu (Ladang 10), UPM.

Dalam pada itu, peserta turut berpeluang untuk melihat sendiri haiwan yang diawet, mempelajari anatomi haiwan ternakan dan mempelajari cara menyediakan sampel sel darah haiwan ternakan dan melihat sel darah menggunakan mikroskop.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 6:45 AM