PESERTA menyertai pertandingan memanah di SKBJ.
PESERTA menyertai pertandingan memanah di SKBJ.
Ayusliza Azizan


Shah Alam: Memasang impian untuk menjadi wakil peringkat negeri mendorong dua pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong (SKBJ) di sini, muncul juara Kejohanan Memanah ‘The Champion’ Petaling Perdana, baru-baru ini.

Juara bagi kategori Champion bawah 11 tahun, Raif Naufal Rudino, 11, dan kategori bawah 12 tahun, Hannah Irdina Hazudin, 12, menghabiskan masa empat jam setiap hari bagi memantapkan skil memanah masing-masing.

Raif Naufal berkata, dia mula meminati sukan memanah sejak berusia lapan tahun dan bergiat aktif menyertai latihan sejak Februari lalu.

“Sebelum ini, saya hanya mempelajari skil memanah dengan menonton video melalui Youtube. Selepas memaklumkan kepada ibu bapa mengenai minat itu, mereka bersetuju dan membenarkan saya menyertai latihan.

“Sukan memanah amat membantu saya menjadi lebih fokus dan ternyata prestasi pelajaran juga semakin baik apabila markah tinggi dalam beberapa subjek,” katanya yang mengakui tidak pernah menyertai sebarang sukan sebelum ini.

Sementara itu, Hannah Irdina berkata, dia meminati sukan memanah dan merasakan tidak lengkap harinya apabila tidak melakukan aktiviti itu.

“Sukan seumpama ini perlu menjalani latihan setiap hari dan seorang pemanah wajib mempelajari teknik memanah yang betul bagi mengelak mengalami kecederaan.

“Saya mula menyertai sukan ini secara serius tahun lalu dan sudah menyertai beberapa pertandingan,” katanya yang akan menyertai kejohanan Youth World Archery di Bangkok, Thailand bersama Raif Naufal pada Disember depan.

Dalam pada itu, Yang Dipertua SKBJ Wolfpack Archery Wan Muhammad Nasri Wan Mokhtar berkata, ibu bapa dan guru berganding bahu bagi menjayakan kejohanan berkenaan bagi mencari bakat baru untuk menyertai ke peringkat negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 8:23 AM