BAGI bayi dan kanak-kanak, membuat sepah antara aktiviti harian mereka.
BAGI bayi dan kanak-kanak, membuat sepah antara aktiviti harian mereka.

Kanak-kanak mana yang tidak sukakan keadaan bersepah? Bagi golongan dewasa terutama ibu bapa berkerjaya, keadaan rumah bersepah menambah bebanan fikiran.

Namun bagi bayi dan kanak-kanak, keadaan bersepah ialah sebahagian daripada kehidupan dan aktiviti rutin harian kerana bersepah berkait rapat dengan bermain yang juga aktiviti utama kehidupan mereka.

Malah, tiada garis pemisah antara bermain dalam kehidupan pada usia bayi dan kanak-kanak.

Walaupun ia ternyata satu tekanan bagi ibu bapa, langkah terbaik adalah memahami aspek perkembangan kognitif manusia dengan baik bagi memahami tingkah laku bayi dan kanak-kanak.

Mereka sememangnya naif dan akan melakukan apa saja yang diinginkan, justeru ibu bapa serta penjaga perlu perlu bertindak sebaik-baiknya dalam keadaan sedemikian.

Menurut Perunding Kanan (Pendidikan & Keibubapaan) Ikhwah Training & Resources Nur Firdaus Abdul Razak, keadaan bersepah ialah salah satu ujian ‘terbesar’ bagi kebanyakan ibu bapa.

“Boleh dikatakan rumah yang dihuni kanak-kanak dan bayi hanya boleh berada dalam keadaan betul-betul kemas semasa mereka sedang tidur.

“Keadaan ini berkait dengan faktor usia mereka dan juga suatu perkara semula jadi. Apabila disebut fitrah dan semula jadi, perkara pertama ialah ibu bapa perlu melapangkan hati seluas-luasnya dan berusaha menghadapinya,” katanya.

Menurutnya, bagi bayi dan kanak-kanak, barang permainan itu perlu dilihat di depan mata bagi memastikan ia masih wujud dan berada di dalam rumah.

“Atas faktor itu, kanak-kanak sering membuat sepah dengan mengumpul semua barangan permainan yang ada bagi memastikan ia masih ada bagi pemikiran mereka.

“Oleh itu, apa kaitannya dengan menyepahkan permainan? Jawapannya berbeza mengikut tahap umur. Bagi bayi berusia di bawah 18 bulan, mereka perlu melihat sendiri permainan itu ada di depan mata untuk meyakini ia sememangnya ada,” ujarnya.

Nur Firdaus berkata, bersepah juga berkait dengan fitrah bayi yang sedang aktif meneroka persekitaran.

“Keinginan meneroka persekitaran bermula seawal usia empat bulan. Apabila bayi sudah kuat dan boleh bergerak, mereka akan bergerak seluas-luasnya dan mencuba satu persatu objek yang ada di sekeliling mereka.

“Mereka sibuk belajar dan seronok melihat segala-galanya ada di depan mata,” katanya.

Katanya, contoh mudah dapat dilihat apabila diambil permainan atau objek itu yang membuatkan si kecil menangis sekuat hati.

“Cuba kita jauhkan permainan dari mereka. Lazimnya mereka menangis dan marah kerana kita cuba menghilangkannya.

“Dari sudut lain, bayi tidak menyukainya kerana kita menghentikan fokus mereka yang sedang memahami sifat objek itu dan ia menjadi jawapan kepada persoalan kenapa anak kecil suka keadaan bersepah dan membuat sepah,” ujarnya.

Manfaatkan keadaan

Pasti ramai yang hairan mengapa perlu dimanfaatkan keadaan itu namun hakikatnya, ia petanda si anak sedang seronok belajar dan menjadikan pemikirannya lebih bijak.

Nur Firdaus berkata, sebenarnya, inilah satu-satunya fasa apabila semua manusia seronok dan bersemangat untuk belajar.

“Apabila semakin meningkat usia, ia jarang berkekalan. Sebahagian kita nampak seronok belajar kerana adanya tekanan peperiksaan atau pencapaian cita-cita. Oleh itu, jangan biarkan saat keemasan ini berlalu begitu saja dan berusahalah memanfaatkannya,” katanya.

Cuba amalkan perkara berikut:

- Sediakan jadual mengemas yang tetap, ia penting untuk pengurusan emosi ibu bapa dan penjaga. Sebagai contoh, berkemas pada jam 5 petang dan 10 malam setiap hari.

- ‘Taburkan’ apa saja permainan yang boleh merangsang minda mereka secara maksimum. Permainan multi-sensori pilihan terbaik. Biarkan mereka sibuk belajar.

- Sediakan satu ruang khas untuk mereka sepahkan sebagai contoh bilik permainan khas. Ia juga penting untuk pengurusan emosi ibu bapa dan penjaga kerana tidak perlu mengemas terlalu banyak ruang dan tempat.

- Luangkan masa dalam sejam sehari untuk bermain bersama si kecil. Sebentar pada waktu pagi, kemudian petang atau malam. Bercakap dengan bayi dan kanak-kanak antara aktiviti yang akan memperkayakan penguasaan bahasa mereka. Bermain bersama sangat membantu proses ikatan emosi antara ibu bapa dengan anak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 5:50 AM