SULTAN Ibrahim (tengah) diapit pemenang perlumbaan.
SULTAN Ibrahim (tengah) diapit pemenang perlumbaan.

Kuala Lumpur: Sejarah tercipta di Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor apabila menerima kunjungan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan ahli keluarga diraja, kelmarin.

Sultan Ibrahim yang ditemani anakandanya Tunku Laksamana Johor (TLJ) Tunku Abdul Jalil dan Tunku Temenggong Johor (TTJ) Tunku Idris Iskandar adalah keluarga diraja pertama meluangkan masa hadir memeriahkan kejuaraan motosikal kebangsaan itu sejak ia mula dianjurkan pada 1994.

Bagi pihak promoter kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd dan penaja utama, PETRONAS, kunjungan keluarga diraja memberi makna amat besar kepada perlumbaan underbone tempatan yang menjadi landasan utama mencungkil bakat muda negara sebelum diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Lebih membanggakan, Sultan Ibrahim sendiri menyaksikan pelumba satelit PETRONAS, Mohd Affendi Rosli, Ahmad Fazli Sham dan Abdul Muhaimin Roslan mendominasi kelas perdana CP130 manakala Kasma Daniel Kasmayudin memenangi perlumbaan CP115.

“Kunjungan Sultan Johor memberi makna besar dan pengiktirafan usaha kami mencungkil bakat muda dalam sukan permotoran dari peringkat akar umbi, selain menjadi landasan untuk pelumba dan pasukan mengembangkan kemahiran dan bakat mereka ke peringkat antarabangsa i,” kata Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Jenama, Kumpulan Komunikasi Strategik PETRONAS Rizan Ismail.

Antara bakat pelumba tempatan yang dikembangkan melalui Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS termasuklah dua pelumba Program Pembangunan Bakat PETRONAS, Hafizh Syahrin Abdullah yang kini beraksi dalam kategori Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia FIM dan juga Ramdan Rosli dalam saingan Moto2 Kejuaraan Motosikal Eropah FIM CEV Repsol. Dua lagi pelumba Moto2 yang turut memulakan karier perlumbaan profesional di Cub Prix ialah Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Zaqhwan Zaidi.

Selain itu, PETRONAS yang membekalkan minyak rasmi kejuaraan, PETRONAS Primax 95 turut mempunyai 14 pelumba dalam pasukan PETRONAS Yamaha-CKJ, PETRONAS Yamaha Maju Motor dan PETRONAS Yamaha Team bersaing memburu gelaran musim ini.

Perlumbaan di Dataran Tanjung Emas, Muar menyaksikan buat kali pertama acara perlumbaan dan aktiviti promosi membabitkan pelbagai jenama berlangsung berlatar belakangkan sungai dan berhampiran Istana Tanjung.

Seramai 129 pelumba mengambil bahagian, membabitkan 26 pasukan keseluruhan dalam enam kategori perlumbaan, CP130, CP115, Wira (Perlumbaan khusus untuk pelumba berusia 13 hingga 17 tahun) dan kategori persendirian, Pro-Am Cup.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 8:39 AM