Orang ramai berada di luar rumah dekat puncak Gunung Victoria, bukit tertinggi di Wellington selepas amaran tsunami dikeluarkan berikutan gempa bumi. - Foto AFP
Orang ramai berada di luar rumah dekat puncak Gunung Victoria, bukit tertinggi di Wellington selepas amaran tsunami dikeluarkan berikutan gempa bumi. - Foto AFP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Wisma Putra mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia terbabit dalam gempa bumi yang melanda Chrischurch, New Zealand, semalam,

Jurucakap Wisma Putra berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan rakyat Malaysia di kawasan terjejas

“Kami dimaklumkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington bahawa tiada rakyat Malaysia terbabit namun pemantauan akan terus dijalankan bagi memastikan keselamatan mereka," katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di New Zealand sentiasa berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan mematuhi arahan keselamatan dikeluarkan pihak berkuasa negara berkenaan.

Gempa bumi sekuat 7.8 magnitud melanda New Zealand malam tadi, dan menurut Pusat Ukuran Geologi Amerika Syarikat (AS) ia disusuli tsunami kecil yang melanda persisiran pantai timur laut negara itu.

Jabatan Pertahanan Awam New Zealand mengeluarkan amaran kepada penduduk di timur laut Pulau Selatan negara itu supaya berpindah ke kawasan tinggi.

Reuters melaporkan, ahli seismologi kanan di pusat penyelidikan GNS Science, Anna Kaiser berkata, ombak besar setinggi satu meter direkodkan di Canterbury Utara di Pulau Selatan New Zealand.

“Keadaan itu masih berbahaya dan orang ramai sepatutnya tidak memandang ringan,” katanya kepada Radio New Zealand.

Gempa bumi itu berpusat 91 kilometer di timur timur laut Christchurch - bandar terbesar di Pulau Selatan New Zealand.

Bernama melaporkan, Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan kejadian berlaku pada 7.02 malam, 92 kilometer di timur laut bandar Christchurch.

Gempa 6.3 magnitud melanda kawasan itu pada Februari 2011, meragut 185 nyawa dan menyebabkan kerosakan teruk.

Sehingga lewat malam tadi, Pertahanan Awam negara itu berkata, masih sukar untuk menilai kerosakan atau sama ada berlaku kecederaan serta kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 12:21 AM