Pegawai pilihan raya memeriksa kertas undi ketika  Pilihan Raya Kepala Daerah (Pilkada) Jakarta, hari ini. - Foto AP
Pegawai pilihan raya memeriksa kertas undi ketika Pilihan Raya Kepala Daerah (Pilkada) Jakarta, hari ini. - Foto AP
BERNAMA

Jakarta: Seramai 7,218,254 warga Jakarta yang layak mengundi sekali lagi akan membuat keputusan memilih Gabenor Jakarta bagi tempoh lima tahun pada pusingan kedua Pilihan Raya Kepala Daerah (Pilkada) hari ini.

Jumlah pemilih itu meningkat lebih 100,000 orang berbanding Pilkada pada Februari lalu, mencatat jumlah pengundi berdaftar 7,108,589 orang.

Media dalam talian Indonesia memetik Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Daerah Khusus Ibukota Jakarta, Dahliah Umar, berkata penambahan itu disebabkan suruhanjaya menggunakan data pendaftaran pemilih terkini.

Mereka akan mengundi di 13,034 buah pusat pengundian di seluruh Jakarta yang dibuka mulai 7 pagi sehingga 1 tengah hari.

Pilkada bagi Jakarta terpaksa diadakan secara dua pusingan ekoran tiada calon melepasi undi majoriti melebihi 50 peratus pada pusingan pertama.

Pilkada pusingan kedua ini menyaksikan gandingan penyandang jawatan Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dan Djarot Saiful Hidayat dicabar bekas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Anies Baswedan dan pasangannya, seorang ahli perniagaan, Sandiaga Salahuddin Uno.

Pada Pilkada 15 Februari lalu, Ahok dan Djarot mendahului pungutan undi dengan 44.17 peratus manakala pasangan Anies dan Sandiaga mendapat 39.55 peratus.

Pasangan Agus Harimurti Yudhoyono iaitu anak sulung bekas presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono terkeluar daripada pertandingan pusingan kedua apabila mendapat 16.27 peratus.

Sistem pilihan raya itu mewajibkan seseorang calon melepasi 50 peratus daripada jumlah undi keseluruhan untuk dilantik sebagai Gabenor Jakarta merangkap ketua eksekutif daerah.

Kerajaan mengumumkan hari ini sebagai hari cuti khas di Jakarta dan pihak berkuasa juga membuat kawalan ketat di seluruh pintu masuk ke Jakarta.

Orang awam dari luar Jakarta dilarang memasuki ibu negara itu jika tidak mempunyai urusan rasmi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 1:26 PM