MARK Adam menyanyi sambil kepalanya dibotakkan.
MARK Adam menyanyi sambil kepalanya dibotakkan.
ESTRANGED bersama Fazura.
ESTRANGED bersama Fazura.
HYPER Act mahu ulangi kejayaan AJL 28.
HYPER Act mahu ulangi kejayaan AJL 28.
Ridzuan Abdul Rahman


Sebanyak 17 daripada 30 lagu yang bertanding di separuh akhir Muzik Muzik 31 sudah dipersembahkan dalam saingan minggu pertama di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu.

Lagu yang dipertandingkan ialah Takkan Pergi (Hyper Act), Sudah Ku Tahu (Projector Band), Hang Pi Mana (Khalifah), Hancur Aku (Estranged feat Fazura), Terakhir (Sufian Suhaimi), Setia (Elizabeth Tan feat Faizal Tahir), Katakan (Harris Baba) dan Demi Cinta (Ezad Lazim).

Turut bertanding ialah Mencinta (Azhael), Kekal Bahagia (Ippo Hafiz), Lelaki Teragung (Dayang Nurfaizah), Ragu-Ragu (Tasha Manshahar feat Syed Shamim), Seperti Novel Cinta (Shiha Zikir), Cinta Sukar Ditafsirkan (Mal Imran), Mungkin Saja (Janna Nick), Berat (Mark Adam) dan Ada Saja (Amyra Rosli feat Juzzthin & W.A.R.I.S).

Biarpun semuanya memberikan persembahan terbaik dan menghiburkan, tiada siapa boleh menarik nafas lega kerana penerbit belum mengumumkan siapa yang layak untuk ke final Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL) pada 22 Januari tahun depan.

Daripada jumlah itu, hanya 12 lagu terbaik akan dipilih dan keputusan muktamad hanya diketahui pada saingan kedua separuh akhir Muzik-Muzik 31, Jumaat ini.

Mereka yang bertanggungjawab memilih 12 lagu terbabit ialah juri profesional yang diketuai Datuk Ramli MS, Johan Nawawi, Habsah Hassan, Azlan Abu Hassan, Edrie Hashim, Yassin Sulaiman, AG Coco dan Azlan Typewriter.

Penerbit Eksekutif Muzik Muzik 31, Nurhul Huda Khalid berkata, kelainan dibuat dengan tidak mengumumkan lagu yang dirasakan layak ke AJL31 pada minggu pertama ini.

“Biasanya, kami ada tiga minggu untuk saingan separuh akhir, tapi untuk tahun ini kami hanya buat dua minggu. Jadi kami buat keputusan untuk umumkan semuanya pada minggu kedua sahaja. Ia sekali gus ini membuatkan penonton ternanti-nanti siapa yang layak ke AJL. Sudah pasti separuh akhir kedua Muzik-Muzik akan berjaya menarik lebih banyak tontonan.

“Perkara ini sudah dirancang dari awal, tapi kami sengaja merahsiakannya daripada semua termasuk artis,” katanya.

Mark Adam botak kepala

Minggu pertama separuh akhir Muzik Muzik 31 juga gamat dengan persembahan Mark Adam yang dibotakkan kepalanya ketika menyanyikan lagu Berat.

Mark ketika ditemui berkata, dia berbuat demikian bagi menimbulkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit kanser.

“Bapa saya meninggal dunia akibat kanser. Idea ini tercetus seminggu sebelum pertandingan berlangsung. November adalah bulan kesedaran untuk pesakit kanser prostat, jadi persembahan ini ditujukan kepada mereka dan juga bapa yang meninggal dunia akibat penyakit itu.

“Sekiranya gagal menarik perhatian juri, saya tak kisah kerana tujuan utamanya untuk menyuntik kesedaran penonton berkenaan penyakit kanser. Jika terpilih ke pentas AJL pula, saya sudah ada idea lain sebagai gimik,” katanya.

Mark juga mengakui tumpuannya ketika menyanyi agak terjejas kerana memikirkan risiko antaranya adakah rambutnya sempat selesai dicukur sebelum lagu berdurasi empat minit itu selesai.

“Kalau lagu ini berpeluang masuk ke AJL saya sangat bersyukur dan sekiranya gagal, saya tetap terima dan teruskan perjuangan dalam seni. Saya tak anggap membotakkan kepala akan mengganggu kerjaya saya kerana hanya perlukan masa sebulan untuk rambut panjang semula,” katanya.

Sementara itu, Dayang pula mengakui tidak terkejut dengan gimik yang dibuat TV3 dan mengakui perasaannya lega selepas membuat persembahan.

“Semua terpulang kepada nasib masing-masing. Saya dah buat yang terbaik. Sesiapa yang layak adalah ketentuan rezeki. Sekiranya layak saya anggap itu bonus,” katanya.

Projector Band enggan terlalu yakin

Persembahan kumpulan Projector Band dengan lagu Sudah Ku Tahu mendapat tepukan gemuruh daripada peminat.

Bagaimanapun mereka tidak mahu terlalu yakin dan menyerahkan keputusannya kepada juri.

“Kami memang ‘all out’ untuk peminat dan kalau layak kami pasti akan gembira. Sebenarnya, kami sendiri tak fikir akan sampai ke tahap ini. Lagu ini diterima peminat pun dikira satu kejayaan besar,” kata mereka yang berlatih setiap hari untuk persembahan itu.

Sementara itu, Hyper Act pula mengakui mahu mengulangi kejayaan yang dikecapi seperti pada AJL 28 sekiranya berpeluang.

“Kami tampilkan 100 peratus muzik asli seperti dalam rakaman. Kami hanya pilih paparkan video muzik lagu ini yang mendapat tontonan 12 juta peminat sebagai latar belakang. Kalau berjaya ke AJL barulah kami akan ubah persembahan agar lebih menarik,” katanya.

Penyanyinya Kecik Ogie mengakui agak gementar kerana ini pengalaman pertamanya beraksi di pentas separuh akhir Muzik-Muzik.

“Ini pertandingan dan suasananya berbeza daripada show biasa. Saya menyanyi ikut susunan asal tanpa apa-apa perubahan. Saya pun dah buat yang terbaik dan serahkan pada rezeki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 1:54 PM