LAGU Terimaku Seadanya memberi tuah kepada komposer Ajai.
LAGU Terimaku Seadanya memberi tuah kepada komposer Ajai.
PERSEMBAHAN bertenaga daripada Hazama menerusi lagu Diamaran Mama.
PERSEMBAHAN bertenaga daripada Hazama menerusi lagu Diamaran Mama.
GABUNGAN Mawi dan Syamsul Yusof menjadi.
GABUNGAN Mawi dan Syamsul Yusof menjadi.
SEBAHAGIAN daripada penyanyi yang layak ke AJL 31.
SEBAHAGIAN daripada penyanyi yang layak ke AJL 31.
Sudirman Mohd Tahir


Usai persaingan Separuh Akhir Muzik Muzik 31, Jumaat lalu, 12 lagu diumumkan layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31).

Menariknya lagu popular sepanjang 2016 dilihat mendominasi acara berprestij kali ini. Malah ada antaranya menepati ramalan banyak pihak berdasarkan sambutan diberikan.

Antara lagu yang tersenarai adalah Lelaki Teragung (Dayang Nurfaizah), Terakhir (Sufian Suhaimi), Sudah Ku Tahu (Projector Band), Selamanya Cinta (Alif Satar & Shila Amzah), Terimaku Seadanya (Misha Omar & Hafiz Suip) dan Ku Rela Dibenci (Aiman Tino).

Turut menempah tiket ke peringkat akhir adalah lagu Di Amaran Mama (Hazama), Obses (Akim & The Majistret), Setia (Elizabeth Tan & Awi Rafael), Kalah Dalam Menang (Mawi & Syamsul Yusof), Hang Pi Mana (Khalifah) dan Anugerah Terindah (Black).

Menurut ketua juri, Datuk Ramli MS, pemilihan 12 lagu adalah keaputusan majoriti daripada lapan juri yang dilantik.

“Ada tujuh juri lain bersama saya. Kiranya setiap lagu yang layak ke peringkat akhir adalah pilihan majoriti. Jadi saya tak ada hak untuk menukar penjurian itu. Paling penting ia keputusan muktamad.

“Seperti tahun sebelumnya, semua lagu yang layak ke peringkat separuh akhir sudah dinilai awal yang merangkumi 80 peratus markah. Selebihnya berdasarkan persembahan mereka.

“Dari segi kualiti lagu, kami di barisan juri perlu mengambil kira keadaan dan pasaran muzik sekarang. Perkara itu perlu diberi ruang kerana setiap tahun senario muzik berubah-ubah. Kita tidak boleh menilai kualiti lagu sekarang dengan dahulu. Disebabkan itu kebanyakan lagu popular layak ke peringkat akhir,” katanya.

Ramli juga memberitahu panel juri terlebih dulu meletakkan 15 kedudukan lagu terbaik sebelum membuat pemilihan akhir pada malam persembahan separuh akhir.

“Saya tidak boleh dedahkan kedudukan setiap lagu. Cuma apa saya boleh katakan, terdapat lagu yang terpaksa ditolak daripada kedudukan itu kerana persembahan mereka yang tidak bagus.

“Meski ia sekadar mewakili 20 peratus pemarkahan, perlu diingat ia juga penting kerana boleh mempengaruhi markah keseluruhan,” katanya.

Menyentuh mengenai kontroversi lagu Hidup Dalam Mati nyanyian Syamel, Ramli memandang serius perkara ini apatah lagi ia membabitkan isu ciplak.

“Kalau ikut hukum lagu ciplak tidak layak dipertandingkan. Pendek kata diharamkan. Bagi saya sekiranya wujud persamaan membabitkan beberapa bahagian dalam sesebuah lagu, itu tidak bagus,” katanya.

Selain Ramli, juri lain yang terbabit pada peringkat separuh akhir adalah AG Coco, Habsah Hassan, Yasin Sulaiman, Azlan Abu Hassan, Edrie Hashim, Johan Nawawi dan Azlan Typewriter.

Sementara itu, Pengurus Projek Separuh Akhir Muzik Muzik 31, Sufian Isa memberitahu ketiadaan lagu itu disebabkan penarikan diri pihak DD Music selalu penerbit.

“Pihak kami menerima surat penarikan diri lagu itu pada Rabu lalu. Selepas berbincang dengan semua pihak, kami menerima keputusan itu. Cuma tidak dinyatakan alasan kepada perkara itu.

“Kami juga tidak dapat memastikan sama ada penarikan itu disebabkan isu ciplak atau tidak. Bagi saya kontroversi lagu itu sudah diselesaikan awal sebelum persaingan separuh akhir bermula,” katanya.

Pada masa sama, Sufian enggan mendedahkan sama ada lagu Hidup Dalam Mati berada pada 15 kedudukan lagu terbaik. Bagi Sufian, mana-mana lagu yang menarik diri secara automatik terkeluar daripada persaingan dan penjurian.

Debaran ke AJL

Bagi penyanyi lagu Terakhir, Sufian Suhaimi menganggap lagu yang popular didatangkan dengan material yang bagus.

“Sekiranya sesebuah lagu itu mempunyai melodi dan lirik yang berkualiti, sudah pasti ia boleh popular. Apabila popular, tentu saja ia mendapat undian daripada peminat.

Jadi apabila lagu popular itu layak ke peringkat AJL, itu membuktikan lagu berkenaan memang bagus. Saya percaya pemilihan juri adalah adil dan seimbang,” katanya.

Sufian yang kali pertama beraksi di pentas AJL mengakui berdebar apatah lagi bersaing dengan penyanyi berpengalaman.

“Selaku orang baru, ini pengalaman berharga buat saya. Sejujurnya apabila lagu ini layak ke separuh akhir saya bersyukur. Tak sangka ia boleh pergi sejauh ini.

Buat masa sekarang saya belum terfikir mengenai konsep persembahan. Apa yang pasti, saya mulai berasa debaran itu. Pentas AJL adalah penanda aras kepada sesebuah lagu dan persembahan seseorang penyanyi,” katanya.

Sependapat dengan Sufian, penyanyi lagu Ku Rela Dibenci, Aiman Tino juga tidak meletakkan harapan tinggi.

“Diakui banyak pihak menjangkakan lagu ini ke peringkat akhir, tetapi saya pula sebaliknya. Bukan apa, kesemua lagu memberikan persaingan hebat. Namun saya percaya juri mempunyai penilaian tersendiri.

“Peluang yang diberikan ini saya cuba manfaatkan sebaik mungkin. Finalis AJL kali ini bukan calang-calang. Justeru, saya hanya mahu memberikan persembahan terbaik. Selebihnya, saya berserah kepada rezeki,” katanya.

Terdahulu 30 lagu yang layak ke peringkat separuh akhir diperkenalkan menerusi Showcase Muzik Muzik sejak Mac lalu.

Angerah Juara Lagu 31 (AJL) bakal berlangsung pada 22 Januari 2017 di PWTC, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 9:56 AM