Shah Firdaus (kanan) iringi Jijoe dan yakinkan Beasley untuk beraksi di Glasgow. FOTO HM
Shah Firdaus (kanan) iringi Jijoe dan yakinkan Beasley untuk beraksi di Glasgow. FOTO HM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelumba muda, Muhammad Shah Firdaus Shahrom mengiringi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio de Janeiro Mohd Azizulhasni Awang ke pusingan pertama Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia di Glasgow, Scotland.

Ketua jurulatih skuad trek negara, John Beasley berkata beliau memberi peluang kepada Muhammad Shah menyertai kejohanan yang berlangsung minggu ini (4-6 November) selepas pelumba muda itu berjaya meyakinkannya pada latihan di Melbourne, Australia, beberapa bulan lalu.

"Tiada sasaran diletakkan untuk kedua-dua pelumba itu kerana saya mahu mereka menikmati kejohanan tersebut.

"Bagi saya, Muhammad Shah menunjukkan peningkatan yang baik sewaktu latihan dan harap dia akan menimba pengalaman berharga apabila bersaing dengan pelumba terbaik dunia di situ nanti," katanya.

Apeldoorn (Belanda) akan menganjurkan pusingan kedua Piala Dunia itu dari 11-13 November diikuti Cali, Colombia (17-19 Februari 2017) sebelum pusingan akhir dilangsungkan di Los Angeles, Amerika Syarikat (25-26 Februari 2017).

Mengenai prestasi semasa Mohd Azizul, Beasley berkata beliau gembira melihat peningkatan yang dilakukan pelumba yang digelar 'The Pocket Rocketman' terutama dari segi penambahan otot dan berat badan kerana beliau menyasarkan atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu menyumbang emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beasley turut memaklumkan beliau sudah memilih enam pelumba muda iaitu empat lelaki dan dua wanita daripada skuad Majlis Sukan Negara untuk menjalani latihan intensif di Melbourne mulai bulan ini.

Tanpa mendedahkan nama pelumba terbabit, Beasley berkata latihan itu adalah antara persiapan awalnya untuk Sukan SEA 2017.

"Saya meletakkan harapan tinggi ke atas mereka untuk mencatat penamat podium sebagai permulaan karier mereka sebelum melangkah ke kejohanan yang lebih besar.

"Kami juga sudah memulakan program empat tahun ke arah Sukan Olimpik Tokyo selepas berakhirnya Sukan Olimpik Rio," kata Beasley.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 4:59 PM