Dua sahabat terperangkap di tengah-tengah Sungai Lata Medang sebelum diselamatkan anggota bomba. FOTO ihsan bomba
Dua sahabat terperangkap di tengah-tengah Sungai Lata Medang sebelum diselamatkan anggota bomba. FOTO ihsan bomba
Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Dua sahabat berusia 21 tahun berdepan detik mencemaskan apabila terperangkap di atas batu di tengah-tengah Sungai Lata Medang dekat sini, akibat kejadian kepala air, 3.40 petang, semalam.

Bagaimanapun, Muhammad Ashyraf Abdul Rahim dan Nur Muhammad Azman berjaya diselamatkan dengan menggunakan tali oleh anggota bomba.

Dalam kejadia berasingan di sini, tiga sekeluarga yang mendaki Bukit Kutu, Pertak di sini, menempuh detik cemas apabila mereka terperangkap lebih enam jam kerana gagal menuruni bukit itu akibat permukaan licin, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, selain hujan lebat dan cuaca gelap, keadaan bertambah sukar apabila seorang daripada mereka cedera akibat terseliuh.

Keadaan itu memaksa semua mangsa iaitu See Seng Poh, 38, Tey Bee Gui, 32, dan Wong Fong Kee, 50, membatalkan hasrat untuk meneruskan perjalanan dan terpaksa meminta bantuan pasukan penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada mangsa untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dianggotai 29 anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) itu berjaya mengesan lokasi selepas terdengar jeritan mereka di ‘water point’ Bukit Kutu pada jam 9.57 malam.

“Ketiga-tiga mangsa ditemui pada jam 10.06 malam dan rawatan awal diberikan kepada Wong yang mengalami kecederaan pada kakinya,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, semua mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa turun kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

“Cuaca gelap sedikit menyukarkan operasi itu namun dibuat secara berperingkat dengan lebih berwaspada berikutan keadaan bukit turut licin.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 11:24 PM