Mangsa kelaparan selepas tersesat lebih lapan jam.
Mangsa kelaparan selepas tersesat lebih lapan jam.

Kuala Kubu Bharu: Tiga sekawan tersesat lebih lapan jam di Bukit Kutu, di sini, kelmarin selepas tersalah laluan sebelum diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Muhammad Shafiq Sarudin, Zul Farhan Hamdan dan Muhammad Muazzam Muktar, ketiga-tiganya berusia 21 tahun memasuki kawasan kaki bukit itu jam 7 pagi, sebelum memulakan pendakian bersama dua kumpulan pendaki lain.

Apabila tiba di persimpangan antara Bukit Kutu dan Lata Medang, mereka masuk ke laluan berasingan sebelum hilang arah.

Menceritakan kejadian, Muhammad Shafiq berkata, mereka sangka dua kumpulan pendaki itu mendaki ke Bukit Kutu, sebaliknya mereka ke air terjun Lata Medang.

“Ketika itu, kami mendahului pendaki lain kerana mahu tiba lebih awal dan segera pulang. Tiba di Air Terjun Ladang Medang, kami melihat laluan kiri dan menyangka ia laluan ke Bukit Kutu.

“Kami menemui kesan tapak kaki dan menyangka ia jejak pendaki lain namun rupa-rupanya kami tersalah laluan,” katanya, semalam.

Menurutnya, beberapa buluh patah di laluan pendakian turut menghalang mereka meneruskan perjalanan sebelum membuat keputusan untuk pulang.

“Bagaimanapun, usaha kami menuruni bukit buntu kerana hampir semua kawasan itu curam selain kehilangan jejak akibat hujan.

“Kami cuba menghubungi talian kecemasan namun gagal sehingga tiba di kawasan lebih tinggi. Kami bersyukur dan hanya menunggu ketibaan pasukan SAR,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Mohd Mahadi Berahim berkata, pihaknya dapat mengesan mangsa selepas terdengar jeritan mereka.

“Semua mangsa ditemui jam 6.20 petang iaitu selepas enam jam mencari. Seorang daripada mereka cedera di kaki kanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 4:01 AM