DR Mohamed Ezani menunjukkan replika bahagian injap jantung yang mengalami masalah.
DR Mohamed Ezani menunjukkan replika bahagian injap jantung yang mengalami masalah.
PENERANGAN mengenai jantung mampu memberikan kefahaman lebih jelas kepada pesakit.
PENERANGAN mengenai jantung mampu memberikan kefahaman lebih jelas kepada pesakit.
Siti Zarinah Sahib


Jika anda mengalami masalah susah bernafas, tidak berdaya melakukan aktiviti harian seperti mandi, berjalan dan memandu kereta serta hilang selera makan, sememangnya ia tanda anda mengalami kegagalan jantung atau penyakit sudah berada pada tahap akhir.

Ini berlaku kerana jantung tidak mempunyai kekuatan untuk menghantar darah dan oksigen secukupnya ke seluruh badan menyebabkan keupayaan badan menjadi lemah.

Pesakit yang mengalami masalah ini biasanya memerlukan rawatan yang lebih tinggi, bukan hanya menerusi pembedahan sebaliknya pemindahan jantung baru untuk pesakit.

Menjelaskan perkara ini, menurut Pakar Bedah Pemindahan Jantung dan Paru-Paru Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib, seseorang itu perlu melakukan pembedahan pemindahan jantung sebagai langkah terakhir disebabkan jantung tidak dapat berfungsi dengan baik untuk menghantar oksigen dan darah ke seluruh badan.

“Apabila ini berlaku, ia menyebabkan individu sukar bernafas, pergerakan menjadi sangat lemah malah untuk aktiviti harian sekalipun seperti berjalan, mandi atau makan, mereka tidak berdaya melakukannya,” katanya.

Pesakit yang mengalami masalah kegagalan jantung ini biasanya ditandai dengan beberapa masalah seperti kekerapan serangan jantung sehingga jantung menjadi lemah. Sebab yang tidak diketahui pula biasanya dikaitkan dengan virus sehingga kegagalan jantung berlaku, bayi yang dilahirkan dengan masalah jantung dan juga injap jantung mengalami kebocoran.

Namun kegagalan injap ini bukanlah berlaku dalam waktu yang singkat sebaliknya mengambil masa yang panjang sebelum jantung mengalami masalah gagal berfungsi dengan baik.

Bagaimana pemindahan jantung dilakukan

Jelas Dr Mohamed Ezani, oleh kerana prosedur ini agak rumit, rawatan pemindahan jantung atau transplan membabitkan satu pasukan perubatan yang besar seperti pakar bedah, kardiologi, pakar bius yang akan berbincang dan melihat punca kegagalan jantung ini berlaku. Selain itu, mereka memastikan semua rawatan sudah diberikan kepada pesakit dan sejauh mana keberkesanannya.

“Misalnya jika pesakit mengalami masalah saluran injap tersumbat, adakah rawatan bersesuaian sudah diberikan? Jika semua faktor ini sudah diambil kira namun pesakit masih berada dalam keadaan sama, barulah pembedahan pemindahan jantung dilakukan. Namun ia belum mencukupi kerana keadaan klinikal pesakit perlu diambil kira. Misalnya adakah dia penagih dadah atau perokok tegar serta mampu mengikuti program rawatan selepas pembedahan dijalankan?” katanya.

Kata Dr Ezani, jantung diperoleh daripada penderma yang disahkan mengalami kematian otak, tetapi tubuhnya masih disambung mesin bantuan pernafasan. Selepas itu koordinator pemindahan organ akan memastikan beberapa kriteria iaitu jantung perlu sesuai dengan tubuh si penerima. Antaranya termasuk ketinggian, berat badan, rangka tubuh, jenis kumpulan darah dan masalah kesihatan yang dihidapi.

“Kriteria ini perlu dikenal pasti bagi mengelak timbul sebarang masalah apabila organ dipindahkan ke tubuh si penerima. Ini kerana bukan semua organ diterima sepenuhnya, ada yang memberikan tindak balas selepas pemindahan selesai dijalankan,” katanya.

Selepas semua proses diambil kira dan didapati jantung penderma sesuai dengan pesakit, barulah pembedahan pemindahan jantung dijalankan di IJN. Keseluruhan prosedur ini mengambil masa antara 14 hingga 15 jam bermula dengan menerima panggilan, seterusnya pembedahan pemindahan jantung mengambil masa empat hingga tujuh jam.

Dia tidak menafikan, prosedur pembedahan pemindahan jantung perlu dilakukan berhati-hati kerana ia membabitkan banyak saraf. Sama ada ketika mengambil organ penderma atau memasukkan organ ke tubuh si penerima, prosedur ini perlu dilakukan begitu teliti bagi mengelak sebarang kemungkinan.

Katanya, kebarangkalian peluang penerima untuk hidup selepas mendapat organ dalam anggaran 75 peratus dalam tempoh setahun. Sekalipun pembedahan pemindahan jantung bukan satu jaminan, sekurang-kurangnya ia dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Selain itu, dalam tempoh menunggu untuk mendapatkan penderma, bagi pesakit jantung kronik biasanya jantung mekanikal akan dimasukkan terlebih dulu. Ini bagi mengelak sebarang komplikasi yang tidak dijangka kepada pesakit. Jantung mekanikal ini juga akan mengambil alih fungsi jantung buat sementara bagi meneruskan jangka hayat pesakit.

Pembedahan pemindahan jantung sama seperti pembedahan lain yang memerlukan pemantau rapi terutama bagi memastikan tiada jangkitan kuman serta tiada penolakan selepas pembedahan dijalankan. Kebiasaannya, hanya 20 hingga 30 peratus pesakit akan menolak atau memberikan reaksi negatif selepas jantung baru dimasukkan dalam badan mereka.

“Bagi mengatasi masalah ini, sejenis ubat akan diberikan kepada pesakit bagi mengurangkan daya ketahanan badan melawan jangkitan. Namun ia tetap berisiko kerana pesakit berkemungkinan mendapat jangkitan kuman adalah sangat besar,” katanya.

Untuk itu, pesakit perlu memastikan mengikuti semua program rawatan diberikan IJN seperti mengambil ubat-ubatan, menjalani fisioterapi, tidak boleh berjalan jauh, menjaga pemakanan dan bersenam.

Cabaran mencari penderma

Dr Ezani yang terbabit dalam pemindahan jantung sejak 1997 memberitahu, cabaran dalam melakukan prosedur ini adalah untuk mendapatkan penderma dan jantung sesuai untuk pesakit.

Kebiasaannya, Pusat Koordinasi Negara menerima panggilan mengenai pendermaan organ malangnya jantung yang ingin didermakan tidak memenuhi kriteria bersesuaian dengan pesakit.

“Keadaan ini berbeza dengan organ lain kerana pemilihannya tidak begitu rumit. Untuk jantung, pasukan perubatan sangat berhati-hati dalam membuat pilihan bagi memastikan tiada komplikasi teruk selepas pembedahan dijalankan. Kebiasaannya daripada 100 panggilan diterima, hanya dua atau tiga jantung saja sesuai dipakai,” katanya.

Bukan semua individu yang menghadapi masalah jantung layak menjalani pembedahan pemindahan, selagi mereka belum melepasi ujian kelayakan. Pesakit perlu menjalani kaunseling dan ujian penilaian untuk menilai tahap kelayakan pesakit. Penilaian kelayakan ini mengambil masa antara dua hingga tiga bulan.

Ini bertujuan mengelakkan pesakit terus berputus asa selepas menjalani rawatan hingga menyebabkan mereka enggan mematuhi jadual ubat-ubatan.

Kriteria lain yang melayakkan pemindahan jantung dan paru-paru ialah pesakit berusia kurang 55 tahun, peluang untuk hidup dalam setahun hanya 30 peratus dan mengalami fungsi jantung pada tahap terendah. Selepas pemindahan jantung pula pesakit memerlukan rehabilitasi antara dua hingga tiga bulan.

Oleh kerana di Malaysia penyakit jantung menjadi pembunuh utama selain penyakit koronari yang lain, setiap orang harus peka terhadap tubuh badan mereka. Terutama yang mempunyai sejarah keluarga menghidap sakit jantung, mereka seharusnya membuat pemeriksaan awal bagi menentukan tahap kesihatan mereka.

Selain itu, menjaga pemakanan dengan mengamalkan makanan berkhasiat yang kurang lemak, garam dan gula serta melakukan senaman mampu mengelak daripada masalah ini. Tekanan juga menjadi punca kepada masalah jantung selain merokok sama ada lelaki atau wanita.

Jaga pemakanan, amal gaya hidup sihat

Menurut Pakar Perunding Makanan IJN Mary Easaw, selepas pembedahan pemindahan jantung dijalankan, pesakit biasanya diberikan pelan pemakanan membabitkan diet rendah lemak selama enam minggu. Ini bagi memastikan pesakit tidak makan apa saja sehingga menyebabkan berat badan bertambah atau semakin berkurang.

“Apa yang sangat penting bagi pesakit yang menjalani pemindahan jantung adalah menjaga pemakanan mereka. Pemilihan makanan berkhasiat sangat penting terutama enam minggu pertama dan diteruskan sehingga mereka selesa dengan jenis makanan diambil. Memandangkan makanan berlemak, berminyak, manis dan masin menjadi penyumbang kepada kadar kolesterol, pesakit perlu mengehadkan jenis makanan sebegini,” katanya.

Mengenai pemilihan minyak masak, jelas Mary, kebiasaannya rakyat Malaysia menggunakan minyak tepu seperti minyak kelapa sawit, mentega dan minyak sapi yang tinggi kolesterol. Justeru, penggunaan minyak ini boleh ditukar kepada minyak sayur-sayuran seperti jagung, bunga matahari, zaitun serta kacang soya yang terbukti mempunyai kadar kolesterol rendah.

“Antara makanan rendah kolesterol seperti soya, kekacang, bijirin dan telur. Ramai beranggapan dengan pengambilan telur setiap hari boleh meningkatkan kadar kolesterol dalam darah, sebenarnya ia salah. Telur tidak mempunyai kolesterol tinggi jika diambil dalam jumlah sepatutnya. Malah pengambilan telur mampu memberikan tenaga terutama kepada mereka yang sudah berusia dan baru saja menjalani pembedahan pemindahan jantung,” katanya.

Jelas Mary, mereka yang mengalami masalah jantung biasanya dikaitkan dengan kencing manis dan darah tinggi yang berpunca daripada amalan gaya hidup tidak sihat. Ditambah pula dengan merokok dan tidak bersenam menyebabkan berat badan bertambah.

“Pertambahan berat badan inilah yang akan menyumbang kepada pelbagai penyakit. Apa yang harus dilakukan adalah mengawal dan membuat pilihan bijak dalam pengambilan makanan. Pastikan jumlah kalori dalam makanan serta memastikan makanan mengandungi semua zat diperlukan tubuh seperti karbohidrat, protein dan vitamin,” katanya.

Tabiat pemakanan rakyat Malaysia seperti pengambilan makanan segera, makan lewat malam, sering mengambil makanan manis seperti kek dan manisan turut menyumbang kepada masalah ini.

“Ini bukan bermakna tidak boleh makan langsung, namun perlulah bersederhana. Jika makan secara berlebihan, anda perlu bersenam di gimnasium atau berjoging bagi membakar kalori dalam badan. Kita perlu bijak ke atas diri sendiri bagi memastikan dapat menjalani kehidupan sihat sepanjang hayat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 12:58 PM