PEMINDAHAN buah pinggang.
PEMINDAHAN buah pinggang.
PESAKIT ESRD jalani pemindahan nikmati kualiti hidup tidak jauh beza dengan individu normal.
PESAKIT ESRD jalani pemindahan nikmati kualiti hidup tidak jauh beza dengan individu normal.
Nurul Husna Mahmud


Menerusi statistik yang dikeluarkan pengkalan data di Amerika Syarikat , ‘The United States Renal Data System’ (USRDS) 2017 membabitkan Penyakit Kegagalan Fungsi Buah Pinggang atau End Stage Renal Disease (ESRD), Malaysia berada di kedudukan teratas dalam senarai pesakit berumur 20 hingga 44 tahun mengalami masalah berkenaan.

Namun berbanding dengan jumlah pemindahan buah pinggang atau ‘transplant’ dilakukan di negara ini, Malaysia mencatat angka terendah berbanding negara lain. Gambaran ini menunjukkan kemelut dihadapi pesakit ESRD yang terpaksa bergantung pada rawatan dialisis bagi meneruskan hidup.

Menurut Pakar Perubatan dan Nefrologi Pusat Perubatan UiTM Sungai Buloh Dr Muhammad Iqbal Abdul Hafidz, sehingga kini masih ramai tidak bersedia untuk menjadi penderma organ dan itu menjadi isu cukup besar apabila lebih 80 peratus pesakit ini terpaksa terus bergantung pada mesin dialisis untuk meneruskan hidup.

Kata Iqbal lagi, pesakit ESRD yang menjalani rawatan pemindahan buah pinggang biasanya menikmati kualiti hidup lebih baik termasuklah kecergasan fizikal selain psikologi dan mental yang stabil kerana hidup mereka tiada jauh beza dengan individu normal.

“Menariknya mengenai pembedahan pemindahan buah pinggang dijalankan terhadap pesakit ESRD, setelah mereka menempuh pembedahan sepanjang tempoh tiga hingga empat jam, buah pinggang baru akan terus berfungsi seperti biasa dan pesakit menerima impak serta-merta apabila mereka dapat kencing yang lawas seperti biasa.

“Dalam tempoh lebih lama iaitu seminggu hingga sebulan mereka sudah boleh rasa perbezaan baik aspek kesihatan diri iaitu tiada lagi masalah seperti badan lemah, kencing berdarah mahupun bengkak pada bahagian tubuh tertentu bagi simptom lebih serius.

“Namun dalam proses membiasakan tubuh dengan organ baru, mereka perlu mengambil ubat anti rejeksi untuk mengelak risiko penolakan tubuh dengan ginjal baru. Ubat berkenaan diambil sekurang-kurangnya dua kali sehari seumur hidup.

“Sebelum ini pesakit ESRD memerlukan tiga sesi rawatan seminggu dengan sekurang-kurangnya empat jam setiap sesi di hospital mahupun di pusat dialisis. Andainya tidak menjalankan rawatan itu pesakit berdepan dengan komplikasi lain lebih serius termasuklah koma, penyakit jantung mahupun peparu dipenuhi air dan boleh menyebabkan risiko maut.

“Bagi pakar perubatan semestinya melihat pemindahan buah pinggang antara pilihan utama dalam merawat pesakit,” katanya.

Menyentuh jenis penderma ketika ini, kata Iqbal, dalam pembedahan buah pinggang terdapat dua penderma boleh menyumbang iaitu penderma hidup merujuk kepada situasi orang yang masih hidup mendermakan organ mereka. Manakala penderma mati iaitu individu ketika hayatnya sudah berikrar untuk menderma organ sebelum meninggal dunia.

“Untuk pemindahan buah pinggang membabitkan individu hidup ketika boleh dijalankan di hospital kerajaan tertentu dan hospital separa kerajaan seperti Pusat Perubatan UiTM Sungai Buloh dan Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM). Kepakaran ada untuk ‘penderma mati’ ketika ini hanya dilakukan Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang.

“Bagi penderma hidup biasanya jauh lebih mudah kerana kebenaran biasanya diperoleh secara langsung dan selalu membabitkan ahli keluarga. Masalahnya ialah membabitkan penderma mati kerana jumlah menyatakan ikrar untuk menderma angkanya masih rendah. Berdasarkan statistik ada pembedahan dilakukan membabitkan penderma mati hanya berjumlah 25 kes sahaja untuk tahun 2017,” katanya sambil berharap lebih ramai sedia melafazkan ikrar untuk menderma organ.

Turut berkongsi mengenai kes terpencil membabitkan isu pemindahan buah pinggang ialah tindakan segelintir pesakit ESRD tempatan menjalani pembedahan di luar negara menerusi pusat perubatan tidak sah statusnya.

“Saya sarankan pesakit ESRD memilih saluran betul dan selamat untuk merawat penyakit mereka. Saya ada terima kes membabitkan pesakit tempatan menjalankan pembedahan luar negara dengan status mencurigakan. Kebimbangan kami ialah tahap keselamatan pesakit dan sejauh mana sahihnya prosedur mereka jalankan mengikut standard sepatutnya,” katanya sehingga kini ada 20 ribu pesakit ESRD masih menunggu organ bagi tujuan pemindahan buah pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 11:45 AM