Oleh Georgie Joseph


Cerita mengenai ‘superhero’ atau adi wira memang tidak pernah gagal memberi keseronokan.

Ia bukan saja dicipta untuk kanak-kanak, tetapi orang dewasa turut menikmatinya.

Kisah adi wira seakan-akan sudah sebati dengan penonton biarpun zaman berganti.

Namun, berbanding watak penjahat, watak hero lebih diingati. Watak jahat hanya dikenang jika ia memberi impak besar, tetapi tidak semuanya meninggalkan kesan.

Bagaimanapun, kisah mengenai watak penuh kejahatan kini mula menjadi ikutan apabila terbitnya siri Gotham.

Diadaptasi daripada komik terbitan DC Comics, siri berkenaan merungkai cerita tersembunyi yang tidak pernah diceritakan sebelum ini.

Ditayangkan di Warner TV HD (HyppTV 613), setiap Selasa, jam 9 malam, Gotham yang sudah memasuki musim kedua ini semakin menarik.

Dibintangi pelakon hebat seperti Ben McKenzie, Donal Logue, Robin Lord Taylor dan Sean Pertwee, drama jenayah itu juga penuh aksi.

Gotham adalah kesinambungan kepada Batman apabila ceritanya berkisar kehidupan awal James Gordon (Ben McKenzie) sewaktu bekerja sebagai polis di bandar Gotham.

Tercemar dan penuh dengan kejahatan, dari situlah juga kebangkitan adi wira lain bermula.

Musim kedua ini menyaksikan perubahan besar dalam James atau lebih dikenali sebagai Jim Gordon.

Menurut Ben, Jim mengalami masa paling sukar dalam hidupnya akibat perkara yang menimpa dirinya.

“Dalam musim ini, berlaku perubahan besar apabila tuah tidak menyebelahi Jim. Dia terpaksa dihukum kerana menyelamatkan hidup Falcone dan menggagalkan rancangan Loeb.

“Dia kemudian ditugaskan untuk menjadi polis trafik dan dia tidak selesa dengan perkara itu. Bagaimanapun, dalam Gotham kerap ada pertukaran besar dan ia boleh berlaku sekelip mata,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai wataknya itu, Ben mengakui dia tidak seronok melakonkan watak Jim kerana hakikatnya banyak kesedihan dalam watak itu.

“Secara peribadi, ia sedikit mengecewakan melihat sebahagian daripada dirinya yang penuh idealisme tiba-tiba hilang. Apapun, itulah suratan yang sudah ditakdirkan buatnya.

“Dia terus belajar bagaimana realiti sebenar untuk mendapat kuasa di Gotham. Ternyata, seseorang perlu bermain kotor bagi memastikan terus berkuasa,” katanya.

Istimewanya siri ini, ia turut merungkai hubungan asal yang berlaku antara Jim dengan Batman atau Bruce Wayne dan persahabatan mereka banyak turun naiknya dan yang pasti, kedua-dua adalah sahabat baik.

Bercerita mengenai perkembangan hubungan mereka pada musim ini, menurut Ben, Jim dan Bruce masih berdepan keraguan.

“Pada musim pertama, Bruce rasa dikhianati Jim gara-gara tidak menunaikan janjinya untuk menyelesaikan kes pembunuhan ibu bapanya. Bruce turut menjumpai gua yang dimiliki bapanya dan bermulalah rahsia antara mereka.

“Jim dan Bruce tahun apa yang mereka mahukan bagi menentang penjahat dan berada dalam hala tuju sama. Akan tetapi, Bruce tidak bersikap telus secara keseluruhannya dan sorokkan mengenai apa yang dia sedang lakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 4:53 AM