RESTORAN SamPan turut sedia juadah tradisional Melayu, Barat, Thai, makanan laut.
RESTORAN SamPan turut sedia juadah tradisional Melayu, Barat, Thai, makanan laut.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Bagi penggemar ikan bakar, Restoran SamPan Ikan Bakar di Pusat Komersial Permatang Pauh, Bukit Mertajam boleh dikunjungi kerana menawarkan dua pilihan iaitu ikan bakar basah dan kering.

Pemiliknya, Zulkifli Zakaria, 46, berkata, pihaknya menggunakan sos buatan sendiri untuk melazatkan hidangan ikan bakar. Sos diletakkan pada bahagian atas ikan bagi ikan bakar kering manakala sos di dalam pembungkus aluminium seolah-olah masakan rebus untuk ikan bakar basah.

Beliau berkata, hidangan utama ialah ikan jenahak serta siakap. Rasa isi yang lembut dicampur dengan perencah warisan keluarga mampu memikat selera pelanggan.

Selain ikan bakar, tarikan istimewa ialah siput sedut atau belitung masak lemak cili padi yang tidak terlalu pedas, tetapi cukup ‘lemak’ bagi membolehkan pelanggan menyedutnya begitu saja tanpa nasi kerana jika terlalu pedas, mereka boleh tersedak.

“Untuk menambat hati pelanggan, kami mengadakan promosi harga seperti hidangan set nasi ekonomi untuk seorang berharga RM3.80 yang menyediakan nasi putih, telur dadar, sup kosong atau kuah gulai, tembikai dan segelas air oren asam boi.

“Selain itu bagi ‘couple set’ berharga RM30 menghidangkan dua pinggan nasi putih, seekor siakap bakar kering bersaiz 300-400 gram (g), gulai ikan kembung, kailan ikan masin dan dua gelas air oren asam boi.

“Bagi Bajet Keluarga Set A untuk tiga hingga lima orang pada asalnya berharga RM62, tetapi kini harga promosi cuma RM50 membabitkan satu bekas nasi putih, seekor ikan siakap bakar kering bersaiz 300-400g, kari kepala ikan (satu kepala), kailan ikan masin, telur dadar, tembikai dan sejag air oren asam boi,” katanya.

Zulkifli berkata, SamPan turut menyediakan beberapa menu istimewa seperti jenahak bakar kering, kambing golek serta kari kepala ikan.

“Siput retak seribu masak lemak cili api, udang masak cili petai dan bawal emas stim limau, ikan siakap bakar basah, ikan siakap stim limau dan ketam lada hitam pasti turut disajikan mengikut cita rasa pelanggan,” katanya.

Zulkifli berkata, SamPan mula beroperasi sejak April tahun lalu dan dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula jam 5 petang hingga 1 pagi. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari Facebook SamPan Ikan Bakar.

Beliau berkata, mereka yang merancang mengadakan majlis perkahwinan atau majlis keraian juga boleh memilih Restoran SamPan Ikan Bakar yang menawarkan perkhidmatan setaraf hotel dengan harga berpatutan.

Katanya, SamPan bukan sahaja menjadi tarikan ramai kerana menawarkan pelbagai hidangan istimewa seperti ikan bakar, masakan tradisional Melayu, makanan ala barat, makanan laut dan ala Thai, malah dikenali sebagai perunding perkahwinan.

“Kami mengendalikan setiap majlis bermula daripada A hingga Z mengikut pakej selain mampu menempatkan 1,000 orang selain ruang parkir yang luas.

“Pelanggan boleh memilih pakej membabitkan penyediaan makanan dan minuman, set pelamin, pakaian pengantin, sistem audio (PA), deejay, karaoke, pelayan tetamu, fotografi, gerai foto, sewaan dewan dan kerusi serta pelbagai lagi mengikut kehendak mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 5:03 AM