BERSAMA ahli kelab motosikal di Borneo.
BERSAMA ahli kelab motosikal di Borneo.
ANITA (dua dari kiri) bersama dua anaknya dan penunggang lain.
ANITA (dua dari kiri) bersama dua anaknya dan penunggang lain.
Rashidah Ibrahim

Sejak memulakan siri penjelajahan motosikal berkuasa tinggi pada 2014, Anita Yusop, 48, bagaikan ketagih untuk terus menganjurkan aktiviti seumpamanya. Menurutnya, ramai terkeliru di antara dua nama Anita yang dikaitkan dengan kegiatan bermotosikal.

“Saya adalah Anita penganjur siri jelajah motosikal secara berkumpulan sementara seorang lagi, Anita Yusof pengembara motosikal solo yang banyak melakukan perjalanan sendiri di dalam dan di luar negara.

“Perbezaan nama pada ejaan huruf akhir bapa kami iaitu P dan F. Perbezaan kedua ialah saya menganjurkan kegiatan penjelajahan untuk ramai dan dia melakukan kembara solo,” ujarnya.

Terkini Anita baru saja selesai menyempurnakan penganjuran Ekspedisi Merdeka Ride Borneo 2016, sejauh 2,000 kilometer membabitkan lapan penunggang utama dari Semenanjung. Program itu dianjurkan syarikat acaranya, Anita Entertainment & Production (AEP) dan Sembang Spontan.

Setiap kali diadakan program penjelajahan, kebanyakannya membabitkan peserta dan kumpulan lelaki. ‘Thorn among the roses’, itulah situasinya apabila dia mengadakan penjelajahan namun sering kali juga terdapat ahli kelab motosikal wanita yang turut serta.

Dari segi keselamatan, Anita tidak gentar kerana selain mempunyai kawan penunggang lelaki yang melindunginya, setiap penjelajahan akan turut disertai anak lelakinya. Dalam program terbaru, dua anaknya, Mohd Saiful Hanapiah, 28, dan Mohd Shah Azman, 23, turut serta dalam ekspedisi di Borneo.

Peserta lain adalah Zamalik Malik, 54; Mohamad Tarmizie, 37; Mohd Ariffin Ahmad, 57; Idris Endut, 50; Mohd Ariffin Idris, 43 dan selebriti Yasin Senario.

“Saya sengaja tidak bawa ramai kerana yakin dengan sambutan ahli kelab motosikal di Sarawak dan Sabah yang sejak awal menyatakan kesediaan menyertai penjelajahan di sana,” ujarnya sambil berikrar itu bukanlah ekspedisi terakhir.

Akan ada lagi siri penjelajahan selepas ini termasuk di luar negara antaranya ekspedisi di Timur Tengah yang sedang diusahakan. Ekspedisi Merdeka Ride Borneo 2016 menamatkan perjalanan di Kota Kinabalu pada 8 September. Kumpulan peserta selamat tiba di Kuala Lumpur pada 11 September lalu.

Anita melahirkan rasa syukur kerana ekspedisi itu berjaya menempuhi semua cabaran di perjalanan dan terharu dengan sambutan kelab motosikal di Borneo yang terbabit menyambut serta mengiringi penunggang dari Semenanjung.

Menurut Anita, Ekspedisi Merdeka Ride Borneo 2016 bermula pada 29 Ogos dengan penghantaran motosikal oleh MAB Kargo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuching.

Peserta ekspedisi diiringi penganjur dan media sampai di Kuching pada 30 Ogos, memulakan penjelajahan Borneo di destinasi pertama, Kuching diikuti Brunei dan Sabah. Mereka bergabung dengan penunggang kelab motosikal di Sarawak dan Sabah melalui laluan ditetapkan.

Program serampang banyak mata

“Ini adalah lanjutan kepada program Tour Ride di seluruh Semenanjung yang bermula dengan ekspedisi pertama pada 2014 dan kini memasuki siri ke-17. Siri penjelajahan ini juga memasukkan kempen ‘safe ride go green kami prihatin’, iaitu perjalanan selamat kerana diiringi marshal di samping melawat ke destinasi hijau untuk menghargai alam semula jadi,” ujar Anita.

Turut bekerjasama adalah Pertubuhan Anak Perak, yang menghantar seorang wakil. Motosikal rasmi penganjur, Victory disediakan oleh NAZA Dream Sdn Bhd

Kempen ‘safe ride go green kami prihatin’ itu melawat beberapa lokasi pelancongan untuk bersantai bersama gabungan Bikers Borneo, termasuk di Kampung Budaya Sarawak, Tip of Borneo, Waterfront, Pasar Satok dan Muzium Benak Sri Aman.

“Pada 2 September, kami bertolak ke Bintulu bagi menghadiri Bintulu Bike Week diikuti ke Lawas, Sabah hari berikutnya. Penjelajahan kemudian memasuki sempadan Miri dan Brunei disambut kumpulan Club Kekal yang menyertai ekspedisi sehingga ke Limbang.

“Seterusnya penunggang utama bergerak sendiri menuju ke Pos Kawalan Limbang Temburung, sempadan Brunei dan singgah di Pusat Belia Bandar Temburung, diikuti perjalanan ke Kudat serta Tip of Borneo,” katanya.

Mereka menyempurnakan program Ride for Green di Kundasang dan kaki Gunung Kinabalu, sebelum bertolak ke Sandakan dan mengakhiri penjelajahan di Kota Kinabalu. Selesai ekspedisi, motosikal dibawa semula ke KLIA dari Kuching dengan MAB Kargo.

Pengurus Jualan MAB Kargo, Khairul Nizam Supaat berkata, ini kali pertama MAB Kargo menaja program seumpamanya dan pihaknya berbangga di atas jemputan pembabitan dalam program sempena Hari Kemerdekaan.

Menurutnya, MAB Kargo kini mengadakan promosi perkhidmatan mengangkut pelbagai kenderaan menggunakan pesawat khas ke Sarawak, Sabah dan destinasi lain.

Exco Kehormat Datuk Saifulzan Othman berkata, bagi pihak Pertubuhan Anak Perak, pembabitan dalam ekspedisi itu untuk merapatkan ukhuwah di antara anak Perak pelbagai peringkat usia dari Semenanjung dan yang berada di Sarawak serta Sabah.

“Penyertaan ini juga bermatlamat menggalakkan kegiatan sihat dan selamat dalam kalangan generasi Y. Secara tidak langsung mengelakkan mereka menyertai kegiatan tidak menentu misalnya samseng di jalanan selain menanam semangat kental,” ulasnya.

Sebelum terbabit dengan penjelajahan motosikal, Anita aktif menganjurkan program hiburan dan produksi yang kebanyakannya membabitkan artis.

“Saya beralih menganjurkan program untuk kelab motosikal, biarpun kebanyakan peserta adalah lelaki yang aktif dan lasak. Namun saya dapati berurusan dengan mereka jauh lebih mudah,” ujarnya.

Mengakui bidang penganjuran memeningkan kepala, namun alah bisa tegal biasa, semua itu ibarat makanannya baginya. Ada rahsia bagaimana Anita boleh bertahan dalam industri ini - dia mempunyai pasukan kerja daripada kalangan keluarga yang semuanya rela menyumbang demi kemajuan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 5:03 AM