KHATY bersama Anita (tengah) dan Zack Kool.
KHATY bersama Anita (tengah) dan Zack Kool.
RAKAN Khaty dalam konvoi motosikal.
RAKAN Khaty dalam konvoi motosikal.
Oleh Nor Akmar Samudin


Sudah 30 tahun Khaty Azian menceburi dunia lakonan dan siapa sangka dia sebenarnya boleh menyanyi serta pernah mengalunkan suaranya di kelab malam ketika zaman mudanya dulu.

Kini, selain aktif berlakon, Khaty turut mengacara dan menghiburkan orang ramai dengan suara serak basahnya.

Bakat yang ada pada diri pemilik nama sebenar Norazian Salehan yang berjiwa rock itu menarik perhatian kompser Ezra Yaacob untuk menghasilkan lagu berjudul Blues Anjer untuknya.

Menurut Khaty, pada mulanya dia agak keberatan merakamkan lagu itu kerana faktor usia, namun bersetuju selepas didesak Ezra.

“Ezra meyakinkan saya lagu itu bukan blues yang ‘berat’ tetapi lebih kepada ketuhanan dan sesuai dengan usia saya.

“Lama tidak menyanyi, suara pun sudah berkarat. Selepas kawan-kawan beri kata-kata semangat, adalah sedikit kekuatan untuk masuk studio.

“Apabila mengacara ada juga saya menyanyi lagu orang lain. Sekarang sudah ada lagu sendiri dan selepas ini ada satu lagi yang judulnya belum ditetapkan,” katanya.

Khaty yang bakal terikat dengan penggambaran drama Anugerah Terindah pada Mei ini cenderung dengan aktiviti lasak dan gemar motosikal berkuasa tinggi.

“Ketika zaman kanak-kanak dulu, rakan sebaya belajar menunggang basikal, tetapi saya pula motosikal Scrambler kerana ramai adik-beradik lelaki.

“Apabila sudah pandai, pantang nampak motosikal abang dan bapa ada di rumah, saya mesti curi bawa. Sekarang saya lebih banyak membonceng motosikal dengan kawan-kawan daripada menunggang sendiri.

“Ada perancangan beli motosikal berkuasa tinggi dan suami pula tidak menghalang niat saya itu,” katanya.

Hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi

Berkawan baik dengan pengurus acara, Anita Yusof yang sering menganjurkan program konvoi motosikal di seluruh negara sejak 2014, Khaty bersama seorang lagi pelakon, Zack Kool turut menyertai acara terbabit yang bukan saja menjadi tempat ‘mat motor’ berkumpul tetapi turut melakukan kerja amal.

Pada 4 Mac hingga 6 Mac lalu, Anita mengadakan Kempen Anita North Ride ke Sungai Petani, Kuala Kangsar dan Gerik. Kempen itu bertemakan Pandu Selamat, Mencintai Kehijauan dan Kami Prihatin.

Menurut Anita, dia sudah menganjurkan program Anita Bike Week sebanyak sembilan siri dan dua siri Malaysian Ride.

“Selepas ini, saya bercadang menganjurkan Anita Borneo Ride di Sabah dan Sarawak sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-57.

“Jika tiada aral, kembara itu bermula pada 30 Ogos dan berakhir 6 September. Ia adalah eksplorasi geografi seperti National Geografic untuk lebih mengenali negara sendiri.

“Dalam setiap penganjuran, ada 30 hingga 40 peserta dan saya buka kepada semua jenis motosikal, bukan yang berkuasa tinggi saja. Saya tidak mahu membezakan dua golongan itu asalkan berminat, kita boleh menikmati hobi ini bersama-sama,” katanya.

Jelas Anita lagi, mereka akan mempromosikan destinasi pelancongan tempatan dan mendapatkan dana untuk disumbangkan kepada warga emas serta pusat tahfiz terpilih di setiap tempat yang dilalui.

“Saya bekerjasama dengan beberapa pihak untuk memastikan kebajikan dan keselamatan penunggang serta pembonceng terjamin di mana kami akan diiringi Bigbike Rescue Team.

“Sebuah van turut disediakan sepanjang perjalanan untuk memuatkan motosikal yang rosak dan akan dibaiki sebaik tiba di destinasi seterusnya,” katanya yang merancang menganjurkan acara berkonvoi ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 4:49 AM