SELAIN faktor usia, tabiat suka mendengar muzik kuat juga boleh jejaskan pendengaran.
SELAIN faktor usia, tabiat suka mendengar muzik kuat juga boleh jejaskan pendengaran.
ANTARA program yang dijalankan ketika pemeriksaan pendengaran percuma anjuran Nessa di Kolej Unikop, Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur.
ANTARA program yang dijalankan ketika pemeriksaan pendengaran percuma anjuran Nessa di Kolej Unikop, Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur.
SELAIN faktor usia, gaya hidup tidak sihat, sering terdedah bunyi bising penyumbang masalah.
SELAIN faktor usia, gaya hidup tidak sihat, sering terdedah bunyi bising penyumbang masalah.
Siti Nadirah Hafidzin


‘Haa, apa dia? Tak dengarlah, ulang semula!’. Itu antara ungkapan biasa yang akan didengari setiap kali proses komunikasi dilakukan kepada individu yang mengalami masalah pendengaran.

Masalah ini sering dianggap perkara tidak serius menyebabkan ia dipandang remeh oleh penghidapnya yang akhirnya mendatangkan risiko lebih buruk terhadap kehidupan seharian.

Sememangnya, masalah pendengaran dianggap sebagai masalah biasa kepada kebanyakan warga emas dan ia membelenggu lebih sejuta warga emas di Malaysia yang dikesan mengalami masalah pendengaran.

Pendengaran yang kurang jelas akan menjejaskan kualiti kehidupan seseorang. Oleh itu ia perlu diberi perhatian sewajarnya. Dalam hal ini, anak perlu lebih peka kepada perubahan yang dialami ibu bapa.

Dianggarkan lebih sejuta daripada 3.8 juta warga emas di Malaysia mengalami masalah pendengaran dan ia disebabkan faktor penuaan.

Faktor usia

Syarikat penyedia penjagaan pendengaran, Nessa Asia (Nessa) mendedahkan 90 peratus daripada warga emas yang mengalami masalah pendengaran tidak menggunakan alat bantuan pendengaran meskipun tahu perkara itu akan menyebabkan mereka berdepan dengan pelbagai kesukaran.

Nessa baru-baru ini mengadakan pemeriksaan pendengaran percuma di Kolej Unikop, Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur bagi membantu golongan sasar terutama bekas pejuang negara yang kini mengalami masalah pendengaran.

Program julung kali itu turut terbuka kepada orang awam yang ingin menjalani pemeriksaan pendengaran di samping mendapatkan informasi mengenai langkah pencegahan, kemudahan dan penyelesaian kepada masalah berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Nessa Helder Araujo, pihaknya menghargai peluang bekerjasama dengan Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bersedia memberi sokongan kebajikan.

“Bantuan dan sokongan ini diberikan kepada persatuan, kakitangan kerajaan, pesara dan orang ramai seiring wawasan kumpulan itu yang ingin menjadikan kehidupan masyarakat lebih baik.

“Sempena program ini, kami menawarkan alat bantu pendengaran kepada golongan sasar yang mengalami masalah itu di bawah pelan kakitangan awam,” katanya.

Sementara itu, Perunding Pembedahan Telinga, Hidung, Kerongkong, Kepala dan Leher Dr Syahmi Omar berkata, masalah pendengaran boleh terjadi kerana proses peningkatan usia atau penuaan dengan gaya hidup tidak sihat serta sering terdedah kepada bunyi bising.

“Apabila semakin tua, pastinya berlaku perubahan secara menyeluruh pada fungsi tubuh dan bahagian dalaman telinga apabila koklea dan saraf auditori semakin lemah.

“Selain itu, cara otak memproses bunyi atau kombinasi kedua-duanya boleh menyebabkan warga emas sukar memahami pertuturan,” katanya.

Dr Syahmi berkata, alat bantu pendengaran adalah satu peranti yang mampu menguatkan bunyi untuk membantu golongan ini mendengar dengan jelas, sekali gus boleh berkomunikasi lebih baik.

“Alat bantu pendengaran boleh membantu pesakit tanpa mengira usia walaupun kebanyakan masalah pendengaran adalah berkaitan peningkatan usia.

“Teknologi alat bantu pendengaran semakin berkembang pesat dengan kualiti bunyi yang diperbaiki untuk memberikan keselesaan kepada pesakit,” katanya.

Katanya, selain penuaan, pendedahan kepada bunyi bising juga boleh membawa kepada masalah pendengaran.

“Individu yang bekerja dalam persekitaran bising juga lebih berisiko mengalami masalah pendengaran. Antara gaya hidup yang boleh memberikan risiko kepada masalah pendengaran adalah sering mendengar muzik yang terlalu kuat, terdedah dengan suasana bising atau pengambilan ubat tertentu yang boleh mempengaruhi masalah pendengaran,” ujarnya.

Kesedaran diri

Dr Syahmi berkata, atas pelbagai faktor, warga emas yang mengalami masalah pendengaran disaran mendapatkan bantuan pendengaran demi kesejahteraan dan keselesaan hidup.

“Alat bantu pendengaran dipilih berdasarkan tahap masalah pendengaran setiap individu. Inilah sebabnya saringan awal perlu dilakukan bagi mengesan tahap masalah itu.

“Memasang alat bantu pendengaran yang salah boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk. Jadi, anda perlu menjalani ujian pendengaran dan mendapatkan khidmat pemasangan alat bantu pendengaran daripada individu yang bertauliah,” katanya.

Pesara kerajaan, Azmi Daud, 61, berkata, dia mula mengalami masalah pendengaran sejak 10 tahun lalu.

“Saya bukan tidak boleh mendengar langsung namun pendengaran menjadi terhad. Sukar untuk saya mendengar dengan jelas terutama apabila intonasi suara individu yang berkomunikasi dengan saya itu perlahan.

“Masalah ini menjadi semakin teruk sebelum saya membuat pemeriksaan dua tahun lalu. Kini selepas menggunakan alat bantuan pendengaran, kehidupan saya jauh lebih baik dan berasa yakin untuk berbual dan menyertai aktiviti masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 6:26 AM