WARGA emas kurang pendengaran kerana faktor usia.
WARGA emas kurang pendengaran kerana faktor usia.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

JANGAN marah ibu bapa warga emas jika mereka gemar menonton televisyen dan mendengar radio pada aras suara tinggi.

Ia berlaku kerana mereka mengalami masalah 'presbikusis' iaitu kehilangan pendengaran kerana peningkatan usia.

Ia senario paling biasa dialami warga emas dan masalah itu lebih ketara berlaku pada individu berusia 65 tahun ke atas.

Perunding Telinga, Hidung, Tekak (ENT) Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Chai Chiun Kian berkata, presbikusis ialah satu daripada tiga punca kehilangan pendengaran yang lazimnya berlaku di Malaysia.

Ia berkaitan masalah telinga dalam.

Beliau berkata, presbikusis adalah proses biasa apabila koklea dan saraf telinga mengalami kemerosotan seiring peningkatan usia.

TELINGA berdesing antara gejala kehilangan pendengaran.
TELINGA berdesing antara gejala kehilangan pendengaran.

"Pesakit selalunya menghadapi masalah pendengaran di persekitaran bising apabila bunyi dapat didengari, tetapi sukar difahami.

"Sebab itu pesakit (warga emas) lebih cenderung meninggikan aras suara televisyen, radio dan bercakap dengan kuat disebabkan mereka tidak dapat mendengar suara sendiri.

"Selain kehilangan pendengaran, segelintir pesakit boleh mendengar bunyi desing di dalam telinga yang berkemungkinan mengganggu aktiviti harian mereka," katanya.

Menurutnya, ujian pendengaran boleh dilakukan untuk menentukan tahap pendengaran pesakit.

"Tahap kehilangan pendengaran boleh dikelaskan sebagai ringan, sederhana, teruk dan sangat teruk.

"Setakat ini, tiada ubat yang boleh memulihkan kehilangan pendengaran pesakit presbikusis. Namun, kebanyakan mereka boleh menggunakan alat bantu pendengaran.

"Ada banyak alat bantu pendengaran dalam pasaran. Sebahagiannya boleh disembunyi dalam saluran telinga untuk tujuan komestik," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pesakit perlu terlebih dahulu mendapatkan nasihat daripada pakar audiologi (pendengaran) dalam pemilihan alat bantu pendengaran yang bersesuaian.

Dr Chai berkata, punca kedua ialah hilang pendengaran mengejut apabila masalah ini terjadi di sebelah telinga saja.

Ia jarang berlaku membabitkan kedua-dua telinga.

MEMAKAI alat pelindung pendengaran semasa mengendalikan mesin yang mengeluarkan bunyi kuat.
MEMAKAI alat pelindung pendengaran semasa mengendalikan mesin yang mengeluarkan bunyi kuat.

Katanya, kebanyakan pesakit menyedari kehilangan pendengaran di sebelah telinga apabila bercakap dalam telefon.

"Ada kalanya situasi hilang pendengaran boleh didahului dengan bunyi 'pop' dalam telinga.

"Tanda lain termasuk rasa telinga tersumbat, bunyi desing, pening, rasa mual dan muntah.

"Ada banyak teori mengenai punca kehilangan pendengaran mengejut seperti jangkitan virus mencederakan sel rambut halus di koklea, saluran darah di telinga dalam tersumbat, penyakit neuroma akustik dan penyakit autoimun," katanya.

Katanya, sejarah pesakit amat penting bagi mengenal pasti masalah kehilangan pendengaran mengejut dialami mereka.

"Tempoh kehilangan pendengaran mesti singkat dan berlaku secara mendadak. Maksudnya, pendengaran merosot dalam beberapa saat, minit atau jam, ada kalanya dalam tempoh tiga hari.

"Ujian pendengaran pula penting untuk mendiagnosis bagi menentukan tahap kehilangan pendengaran dan memantau perkembangan pendengaran pesakit.

Pesakit juga perlu menjalani prosedur Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) bagi memastikan mereka tidak menghidap penyakit neuroma akustik," katanya.

Jelas Dr Chai, rawatan kepada pesakit hilang pendengaran mengejut ialah pemberian steroid dan ubat untuk meningkatkan peredaran darah ke telinga dalam.

Katanya, steroid dapat mengurangkan keradangan ke atas sel rambut halus dalam koklea.

Ubat pula mempercepatkan proses penyembuhan saraf dengan membekalkan lebih banyak oksigen dan nutrien pada bahagian yang cedera.

Kajian menunjukkan, pendengaran pesakit mungkin pulih sepenuhnya jika rawatan diberikan dalam tempoh tujuh hari dan hasil rawatan menurun apabila rawatan ditangguhkan.

Sebanyak 50 peratus pesakit menunjukkan peningkatan pendengaran ketika rawatan bermula dalam satu bulan, berbanding 25 peratus sekiranya rawatan bermula dalam satu hingga dua bulan.

Dr Chai berkata, pesakit berisiko kehilangan pendengaran kekal jika lewat mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, punca terakhir ialah pendedahan kepada bunyi bising pada tahap yang terlalu tinggi.

"Ia terjadi apabila sel rambut halus di koklea cedera secara perlahan-lahan dan gangguan pendengaran ketara selepas terdedah kepada bunyi yang kuat dalam tempoh panjang.

"Kebanyakan pesakit mengadu bunyi berdesing di telinga dan mengalami kesukaran mendengar di persekitaran yang bising.

"Pendedahan bunyi bising yang berterusan mengakibatkan pendengaran semakin merosot dan akhirnya pesakit mengalami kesulitan dalam perbualan harian," katanya.

Beliau berkata, pesakit akan menjalani ujian audiometri iaitu ujian khas untuk mengesahkan hilang pendengaran akibat bunyi bising.

"Kehilangan pendengaran akibat bunyi bising dapat dicegah sepenuhnya. Langkah pencegahan perlu dilakukan seperti mengelak atau mengurangkan pendedahan kepada bunyi bising.

"Di samping itu, boleh juga gunakan alat pelindung pendengaran seperti palam telinga atau penutup telinga semasa bekerja di kawasan persekitaran kerja yang bising," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 7:00 AM