TERAPI oral baru berpotensi besar bantu wanita di Malaysia.
TERAPI oral baru berpotensi besar bantu wanita di Malaysia.

Sakit perut teramat, haid tidak teratur malah lebih membimbangkan apabila ia dikaitkan kesukaran untuk hamil menjadikan fibroid rahim simptomatik antara kenyataan yang sukar diterima kebanyakan wanita.

Lebih menyedihkan apabila sesetengah daripada penghidapnya berasa begitu sukar untuk bangun daripada katil, apatah lagi hendak keluar bersiar-siar bersama yang tersayang.

Fibroid rahim simptomatik yang juga dikenali sebagai leiomioma atau mioma adalah sejenis tumor dalam rahim yang paling biasa dan tidak berbahaya.

Namun kehadirannya boleh menjejaskan kehidupan apatah lagi jika saiznya besar.

Antara simptom yang berkemungkinan dialami seseorang wanita yang ada masalah fibroid ini ialah pendarahan rahim tidak normal, anemia, rasa tekanan pada bahagian pelvis, masalah lemah kawalan kencing atau kesakitan.

Hampir separuh daripada wanita berusia antara 35 hingga 49 tahun mengalami masalah fibroid rahim, dengan 30 peratus daripadanya menderita simptom yang boleh membawa kesan besar ke atas kualiti kehidupan.

Satu kaji selidik rawak yang dijalankan baru-baru ini membabitkan 21,000 wanita dari lapan negara menunjukkan fibroid rahim simptomatik menyebabkan kesan negatif ke atas kehidupan seksual (43 peratus), prestasi di tempat kerja (28 peratus), hubungan dan keluarga. Ia juga dikaitkan dengan masalah reproduktif seperti ketidaksuburan dan keguguran.

Rawatan

Rawatan untuk fibroid rahim simptomatik kebiasaannya adalah terhad apabila kebanyakan mereka memilih untuk menjalani pembedahan bagi mengatasi masalah itu.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Dr Raman Subramaniam berkata, pakar obstetrik dan ginekologi di Malaysia mendapati pembedahan dianggap sebagai pilihan paling biasa untuk merawat fibroid rahim dengan tahap simptom yang sederhana hingga teruk.

Menurutnya, bagaimanapun, seperti apa-apa jenis pembedahan, terdapat risiko untuk terjadinya komplikasi dan disebabkan itu prosedur seperti histerektomi (membuang rahim) sering dikaitkan dengan morbiditi, kematian dan beban ekonomi ke atas sistem penjagaan kesihatan.

“Bagi sesetengah wanita, mereka berasa terhalang daripada menjalankan prosedur ini kerana ia bermakna peluang untuk mengandung sudah tertutup.

“Bagi wanita yang mencari alternatif, miomektomi (pembedahan membuang fibroid) memberikan kelegaan sementara daripada fibroid rahim yang dihadapi. Bagaimanapun, terdapat risiko fibroid ini akan berulang di masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, terapi farmakologi juga boleh digunakan untuk merawat fibroid rahim, tetapi kaedah ini mempunyai banyak batasan.

“Penyelesaian ini boleh memberikan kelegaan sementara tetapi penggunaan jangka panjang mempunyai kekurangan atau risiko tertentu seperti terjadinya menopaus pramatang dan kurangnya ketumpatan tulang.

“Di samping itu, sebaik sahaja rawatan dihentikan, kebiasaannya fibroid akan membesar dan simptom akan kembali,” ujarnya pada pelancaran terapi oral pertama, Ulipristal acetat 5mg (UPA 5mg) anjuran Zuellig Pharma.

Kajian menunjukkan ia dapat menghentikan pendarahan rahim, merawat anemia dan mengecutkan fibroid. Berdasarkan laporan kajian klinikal yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England pada 2012, mendapati pendarahan haid bagi pesakit yang dirawat dengan UPA 5mg berhenti dalam masa tujuh hari dan pendarahan dapat dikawal bagi lebih 90 peratus pesakit dalam tempoh rawatan selama 13 minggu.

Kajian jangka panjang juga mengesahkan keberkesanan dan keselamatan penggunaan terapi oral ini secara berulang dan berselang-selang untuk menangani fibroid rahim.

Dalam kajian itu juga penyelidik mendapati wanita yang dikesan menghidap fibroid rahim simptomatik sebelum ini selalunya berasa tertekan apabila berdepan dengan pilihan rawatan melalui pembedahan.

Kat Dr Raman, terapi oral baru ini mempunyai potensi besar untuk membantu wanita di seluruh Malaysia. - Siti Nadirah Hafidzin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 5:59 AM